Home Antarabangsa Pergerakan Jemaah Di Tanah Suci Berjalan Lancar

Pergerakan Jemaah Di Tanah Suci Berjalan Lancar

SHARE

JEDDAH, 15 Ogos (Bernama) — Pergerakan bas yang membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Makkah dan Madinah berjalan lancar, dengan masalah dihadapi hanya melibatkan kerosakan kecil dan sedikit kelewatan.

Pengurus Pusat Panggilan Kecemasan Lebuhraya (PPKL) Tabung Haji, Shafie Sharif berkata pada musim haji tahun ini, agensi berkenaan menggunakan bas baharu keluaran 2015, 2016 dan 2017 untuk membawa jemaah ke maktab penginapan masing-masing.

“Kesemua bas digunakan bagi membawa jemaah dalam keadaan baik dan telah sampai ke destinasi masing-masing. Pergerakan bas ini adalah dari lapangan terbang di Jeddah ke Makkah, dan dari lapangan terbang berkenaan ke Madinah serta Madinah ke Makkah,” katanya kepada pemberita di sini.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah ke Makkah mengambil masa dua hingga tiga jam, manakala dari Jeddah ke Madinah serta Madinah ke Makkah, masing-masing antara tujuh dan lapan jam.

Beliau berkata bas-bas membawa jemaah Malaysia antara Madinah dan Makkah juga diminta berhenti di pusat pemeriksaan yang telah ditetapkan supaya pemandu dan jemaah boleh berehat sebelum meneruskan perjalanan.

“Berdasarkan pengalaman, jika bas teruskan perjalanan dan tidak berhenti, kemungkinan boleh menyebabkan kerosakan atau menghadapi masalah. Bas-bas ini hanya digunakan setahun sekali (untuk musim haji). Jemaah kita juga boleh makan di kawasan rehat berkenaan,” katanya.

Pasukan PPKL dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dan memantau pergerakan bas membawa jemaah haji sejak mula tiba di lapangan terbang di Jeddah ke Makkah, Jeddah-Madinah dan Madinah-Makkah.

“Pusat Panggilan Kecemasan Lebuhraya ini akan memantau pergerakan bas-bas tersebut. Jika kita menerima laporan berhubung kelewatan atau kerosakan, pasukan ini akan dikerahkan bagi membantu menangani masalah berkenaan. Kita juga akan meminta digantikan bas lain jika perlu,” katanya.

Sehingga minggu lepas, Shafie berkata TH sudah menggunakan 180 bas untuk membawa jemaah haji dari Madinah ke Makkah, dan 116 bas lagi daripada mula jemaah tiba di Jeddah ke Makkah.

“Setakat ini, tiada masalah besar dilaporkan hanya sebuah bas mengalami kerosakan klac dan masalah pendingin hawa. Bas tersebut kemudian digantikan dalam tempoh dua jam,” katanya.

Beliau berkata PPKL mempunyai dua pasukan terdiri daripada tiga petugas, yang bertanggungjawab memantau pergerakan bas membawa jemaah di laluan Jeddah ke Makkah, serta antara Madinah dan Makkah, dan dibekalkan dengan sistem komunikasi Bravo serta telefon bimbit.

Katanya apabila musim haji memasuki fasa berikutnya, pasukan PPKL akan memberi tumpuan terhadap operasinya bagi membawa jemaah antara Makkah dan Arafah.

Bernama

Comments