Home Antarabangsa Perdebatan panas undang-undang syariah di Australia

Perdebatan panas undang-undang syariah di Australia

SHARE

CANBERRA – AUSTRALIA. Sebuah program televisyen ‘Q&A’ menyaksikan satu perdebatan hebat berkaitan undang-undang syariah oleh Senator bebas, Jacqui Lambie dan Pemimpin Belia Islam, Yassmin Abel-Magied lapor ABC net.

Bermula dengan satu soalan daripada penonton mengenai kewajaran seseorang berpindah untuk mengelakkan konflik kemasyarakatan di negara itu membuatkan Lambie mengeluarkan kenyataan bahawa sesiapa sahaja yang menyokong undang-undang tersebut harus diusir keluar dari negara itu.

Kemudiannya, Abdel- Maggied mencelah dan bertanyakan sama ada Lambie benar-benar tahu apa itu undang-undang syariah yang sebenarnya sebelum kedua-duanya mula meninggikan suara masing-masing.

“Saya kecewa apabila ramai orang berbicara mengenai Islam seolah-olah mereka tahu dan faham mengenai agama saya dan kemudian ingin menafikan hak asasi manusia saya.

“Islam bagi saya adalah agama yang feminis, kami mendapat hak yang sama sebelum ini dan tidak mengambil nama akhir suami kerana kami bukanlah harta yang boleh ditukar milik,” terang Abdel Magied kepada penonton.

Tambahnya lagi, Islam turut mengajar penganutnya mengikuti undang-undang di negara yang diduduki sebelum Lambie mencelah dan mendakwa hanya akan ada satu undang-undang sahaja di negara tersebut.

“Hakikat bahawa hanya ada satu undang-undang sahaja di negara ini iaitu  undang-undang negara Australia, bukan syariah, tidak semasa saya menjadi pemimpin,” kata Lambie.

Bagaimanapun, Abdel- Magied mendakwa bahawa Islam mengajar penganutnya untuk mengikut undang-undang negara yang diduduki mereka.

Pasangan tersebut turut berselisih pendapat mengenai pengharaman orang Islam ke Amerika dan Lambie mengeluarkan kenyataan menyokong jika larangan tersebut turut berkuatkuasa di Australia.

“Jika ini apa yang majoriti inginkan dan berasa selamat serta Donald Trump melihat ia sebagai satu langkah selamat, tidak salah dia berbuat demikian,” katanya.

Namun begitu, Abdel-Magied mempersoalkan kenyataan Lambie tersebut  dan bertanyakan bagaimana pula dengan rakyat Islam di negara itu.

“Kamu mendakwa ingin melindungi warga Australia, tetapi saya juga warganegara ini,” katanya lagi.

Sementara itu, pemimpin dan aktivis Islam menuntut agar ABC memohon maaf kerana menyiarkan sifat perkauman Lambie di dalam program berkenaan lapor Yahoo News.

Sinar Online

Comments