Home Tempatan Perbankan Islam ke-2 terbesar dunia

Perbankan Islam ke-2 terbesar dunia

SHARE
Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan konsisten terus menjadi pusat kewangan Islam global.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 24 Feb. – – Malaysia mempunyai aset perbankan Islam kedua terbesar di dunia berjumlah AS$156.7 bilion (RM697.08 bilion) selepas Iran yang mencatat aset berjumlah AS$482.4 bilion (RM2.15 trilion) setakat 2013, menurut Laporan Global Kewangan Islam Bank Dunia.

Laporan yang diterbitkan secara bersama dengan Bank Pembangunan Islam (IDB), Arab Saudi itu juga menyatakan Malaysia merupakan negara ekonomi Islam terbesar di rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara dari segi jumlah aset kewangan Islam, diikuti Bangladesh AS$17 bilion (RM75.62 bilion) dan Indonesia, AS$13 bilion (RM57.83 bilion).

Malah, menurut laporan itu, Malaysia mempunyai kerangka kerja tadbir urus syariah yang lebih maju berbanding negara-negara lain.

“Asia Barat ketika ini mendominasi pertumbuhan per­bank­an Islam secara global. Tetapi rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara (termasuk Malaysia), berada di kedudukan kedua dalam perbankan Islam global dengan 15 peratus penguasaan pasaran,” jelas laporan tersebut yang dikeluarkan baru-baru ini.

Bank Dunia dan IDB buat pertama kali menerbitkan laporan berkenaan dengan tajuk Pemangkin Perkongsian Kekayaan yang menyediakan secara terperinci prospek industri kewangan global dan potensinya untuk membantu mengurangkan ketidakseimbangan dari segi pendapatan, berkongsi kekayaan dan mencapai matlamat pembangunan mapan.

Laporan itu menunjukkan perbankan Islam semakin mencapai momentumnya dan menjadi pesaing kepada perbankan konvensional serta memainkan peranan penting dalam membawa lebih 40 juta pengguna memasuki sistem kewangan yang formal.

Namun, menurut laporan itu, ketika ini, jumlah bank yang menawarkan perkhidmatan kewangan patuh syariah bagi setiap 10 juta orang dewasa adalah rendah kecuali di beberapa negara seperti Bahrain, Kuwait, Malaysia dan Qatar.

Pada masa sama, laporan berkenaan turut menggariskan beberapa cabaran yang perlu ditangani dalam segmen perbank­an Islam termasuk keperluan untuk melaksanakan pelaburan alternatif.

Dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang turut dianggotai Malaysia, laporan itu menunjukkan keberkesanan peranan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam mengenal pasti isu-isu berkaitan pelaburan alternatif.

“Namun, setakat ini Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam belum lagi mengeluarkan sebarang standard khusus mengenai pelaburan alternatif. Ia memerlukan lebih banyak garis panduan yang komprehensif. Buat masa ini, lembaga berkenaan banyak memberi fokus kepada perbankan Islam, pasaran modal dan takaful,” jelas laporan ber­kenaan.

Laporan itu juga mendapati, bank-bank Islam di Malaysia, Indonesia, Pakistan dan Sudan secara dasarnya mempunyai tahap risiko kredit yang rendah, secara purata enam peratus bagi tempoh yang dikaji iaitu 2010 hingga 2013.

utusan online

Comments