Home Tempatan Perangi keganasan harus patuhi undang-undang hak asasi

Perangi keganasan harus patuhi undang-undang hak asasi

SHARE

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Dr Yousef A Al-Othaimeen menggesa strategi menangani keganasan oleh sesebuah negara harus mematuhi hak asasi manusia, pelarian dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Langkah memerangi keganasan seperti penahanan secara haram dan sewenang-wenangnya, pembunuhan di luar bidang kehakiman, latar belakang sesuatu kaum dan etnik, penempatan haram dan sebagainya memberi cabaran kepada hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan di laman web OIC.

Beliau menegaskan langkah itu, jika berterusan dipupuk dengan penuh kecurigaan, kebencian dan diremehkan boleh menyebabkan keselamatan untuk jangka panjang semakin berkurangan serta terjejas.

“Langkah memerangi keganasan seperti itu menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan terhadap kaum tertentu, termasuk kaum minoriti dan pendatang etnik atau agama yang menjejaskan perpaduan sosial serta mengakibatkan keganasan dan fahaman radikal terlampau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perbahasan tematik Sesi ke-11 Suruhanjaya Tetap dan Bebas Hak Asasi  Manusia OIC (IPHRC) bertemakan ‘Melindungi Hak Asasi Manusia Ketika Memerangi Keganasan’ yang berlangsung di ibu pejabat OIC di Jeddah, Arab Saudi pada Selasa .

Al-Othaimeen berkata, keganasan bukan sekadar menjadi ancaman serius kepada hak rakyat untuk menjalani kehidupan dan kebebasan tetapi juga akan kekal menjadi petanda bahaya terhadap kewujudan tamadun manusia, kemajuan, kebajikan dan kestabilan dunia.

Turut hadir pada sesi berkenaan anggota dan rakan pemerhati OIC  termasuk dari Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI), pakar dari pertubuhan antarabangsa dan serantau  serta pegawai kanan Sekretariat Agung OIC  dan wakil media.

Sinar Online

Comments