Home Pendapat Perang Candu Dan Perjuangan Negara

Perang Candu Dan Perjuangan Negara

SHARE

Usaha meminda Akta 355 demi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah semakin mendapat sambutan dan sokongan daripada segenap lapisan masyarakat. Rakyat semakin faham peri pentingnya RUU 355 dipinda demi kemaslahatan ummah. Namun dalam pada itu ada juga golongan yang menentang. Apabila diteliti dengan cermat, penentangan yang dizahirkan oleh golongan ini sama dengan apa yang pernah dilakukan oleh pihak British apabila mereka cuba untuk menghalang penguatkuasaan dan pengharaman candu oleh kerajaan China sehinggalah tercetusnya Perang Candu pada pertengahan abad 1800.

Perang Candu meletus pada tahun 1839 dan berakhir pada 1842 melibatkan pertelingkahan perdagangan dan hubungan diplomatik antara kerajaan China dan pihak British. Ia terjadi apabila pihak British tetap berdegil untuk meneruskan dagangan candu kepada rakyat tempatan walaupun ditentang kerajaan China.[1]

Kerajaan China telah bertindak mengharamkan candu apabila melihat rakyat yang terjebak dengan ketagihan candu menjadi lemah dan tidak produktif. Disebabkan itu, pembangunan terbantut dan pertahanan keselamatan negara tidak kukuh.[2] Risau dengan perkembangan yang tidak sihat dikalangan rakyatnya, kerajaan China memilih untuk mencari jalan penyelesaian. Namun langkah-langkah yang diambil tidak disenangi pihak Bristish yang mahu terus mencandukan rakyat China.

Perkara yang hampir sama boleh dilihat dengan penentangan terhadap RUU 355 yang seolah-olah mahu rakyat semakin hanyut dalam kemaksiatan. Maksiat seperti pelacuran, minum arak dan perjudian bukan sahaja memberi kesan negatif kepada individu terbabit, bahkan menjejaskan produktiviti ekonomi, pembangunan dan pertahanan negara. Atas sebab inilah kerajaan mencadangkan pindaaan Akta 355 dimana salah satu sebabnya adalah untuk membanteras dan mengekang gejala maksiat ini. Masa depan Malaysia akan musnah jika masyarakat terus berada dalam kecanduan maksiat.

Sebenarnya, perkara yang ditakuti oleh si penentang adalah ekonomi kapitalis maksiat akan merudum jatuh apabila terlaksananya pindaan Akta 355. Graf ekonomi pelacuran, penjualan arak, perjudian, dan nombor ekor pastinya akan menurun selepas pelaksanaan RUU 355. Hal ini adalah kerana pelanggan mereka yang beragama Islam akan takut untuk terlibat dalam urusan jual beli demi mengelakkan hukuman yang dikenakan.

Rakyat yang terbuai dengan keseronokan maksiat tidak dapat membangunkan Islam. Mereka juga tidak dapat membantu menegakkan dan mempertahankan Islam apabila Islam dihina dan diperkecilkan. Akhirnya, Islam hilang dari Malaysia, dan yang membenci Islam akan memegang tampuk pemerintahan dan ekonomi. Lebih kurang beginilah situasi yang diidamkan oleh mereka yang menentang RUU 355. Pada ketika itu, mereka hanya akan bertepuk tangan dan saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain apabila impian keji ini menjadi kenyataan. Sama seperti pihak British yang berjaya menewaskan kerajaan China dalam Perang Candu. Bukan setakat kuasa ekonomi dan pengekalan perniagaan candu, pihak British juga berjaya mendapatkan hak wilayah yang besar di China.

Justeru, orang ramai perlu sedar dengan anasir-anasir luar yang menyusup masuk ke dalam masyarakat dengan tujuan meruntuhkan institusi Islam dan negara. Cukuplah sejarah Perang Candu menjadi pengajaran kepada kita. Akibat candu, ekonomi dan negara China hampir tergadai di tangan pihak British. Maksiat juga akan memberikan kesan yang sama kepada Malaysia sepertimana yang telah terjadi kepada negara China suatu masa dahulu. Jangan biarkan Islam di Malaysia hanya tinggal sejarah. Oleh itu, kita perlulah menyokong cadangan pindaan Akta 355 demi kemaslahatan masyarakat, kesejahteraan dan juga keamanan negara.

Rujukan

[1] The Global Experience, AP* Edition, (nd), Pearson
[2] Ibrahim Saad. Strategi Menjawab Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan, Asia Timur. Edisi keenam. 1990. Kuala Lumpur, Nurin Enterprise, ms 573

Comments