Home Tempatan Peranan YADIM Merealisasikan TN50

Peranan YADIM Merealisasikan TN50

SHARE

Maj­lis Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  pada 20 Januari lalu di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) telah pun melakar sejarahnya yang tersendiri. TN50 yang menjadi kesi­nambungan kepada dasar 30 tahun terdahulu, adalah visi rakyat kerana masa depan negara adalah milik generasi muda hari ini.

Isu ini mendapat reaksi positif dari beberapa pemimpin yang ditemubual oleh Wartawan menara.my yang menyambut baik Wawasan TN50 ini sebagai aspirasi generasi muda hari ini tentang bagaimana mereka mahu melihat Malaysia dalam tempoh tiga dekad akan datang.

Ketua Pengurus Eksekutif  Bahagian Kepimpinan Belia Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)  Zamani Mohd Karulani berkata, pihaknya amat berminat untuk menyertai Wawasan TN50 yang membuka ruang dan peluang memperkasa Negara melalui konsep dakwah berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Menurutnya, Sahabat YADIM turut berkesempatan menyertai diskusi yang diadakan minggu lalu dan melihat sendiri sambutan berhubung TN50 yang kini menjadi matlamat dan  misi untuk golongan muda meneruskan kepimpinan Negara pada masa akan datang.

“Kita mahu generasi pengganti ini memiliki kemahiran dan keupayaan dari segi kepimpinan, idealisme serta berjiwa pendakwah bagi memartabatkan dan mengukuhkan Islam di Negara ini bertepatan dengan misi penubuhan YADIM sendiri semenjak 1974 bagi melaksana dan menyelaras aktiviti dakwah merentasi idealogi dan metodologi,”katanya.

Menurut beliau, saranan pihak kementerian melalui TN50 ini amat bertepatan dengan apa yang YADIM sedang dan akan lakukan untuk pengukuhan jati diri generasi pelapis.

Zamani berkata, bagi merealisasikan fungsinya sebagai badan penyelaras, YADIM akan merancang melaksanakan beberapa siri persidangan, simposium, muktamar, seminar, syarahan, mesyuarat dan muzakarah dan berkemungkinan akan menerbitkan majalah, buku-buku dan bahan terbitan lain termasuk menggunakan media elektronik  bagi mempastikan visi TN50 ini akan sampai ke golongan sasaran.

“Bagaimanapun semua ini masih di dalam perancangan dan akan menyalurkan kepada pengetahuan pihak penganjur TN50 ini setelah semuanya terlaksana,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk bersama-sama dengan mana-mana pihak bagi menjayakan  program menuju Wawasan TN50, lebih-lebih lagi agenda ini melibatkan pembangunan generasi muda.

Katanya, setakat ini  sebanyak 30 buah cawangan YADIM telah ditubuhkan di hampir ke semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta  termasuk, Kolej Matrikulasi, Politeknik dan terbaru ke Sekolah Berasrama Penuh.

“Sasaran YADIM ialah golongan belia seawal umur 20 an yang masih mudah dibentuk mental dan fizikal.

“Bagaimanapun proses pemantapan dan pembelajaran serta usaha dakwah ini sudah tentu akan mengambil masa dan berterusan 20 ke 30 tahun lagi, bagi melihat satu kumpulan pemikir serta bijak pandai dari pelbagai bidang ilmu dapat dibentuk sepenuhnya dengan teguh dan kukuh,”katanya.

Beliau berkata, usaha mewujudkan peneraju ini meliputi semua bidang kerjaya termasuk politik, kedoktoran, kejuruteraan, keusahawanan, media, sektor awam dan swasta yang bukan sahaja  berkebolehan menjalankan dakwah Islamiah bahkan  menguruskan pentadbiran termasuk usaha-usaha kebajikan demi memakmurkan negara kita.

“Selain itu, YADIM turut berperanan menyokong persatuan, institusi dan badan lain yang mempunyai tujuan dakwah dan memberi nasihat mengenai kegiatan persatuan, institusi dan badan lain supaya mencapai tujuan yang maksima.

“Sehingga kini pun YADIM terus giat menjalankan program bagi pembangunan generasi muda  yang mempunyai idealisme berserta jiwa pendakwah.

“Usaha ini merangkumi keterlibatan pelbagai pihak termasuk pertubuhan pelajar, belia, badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik, badan-badan dakwah, gerakan dakwah sukarela serta lain-lain lagi,”katanya.

Kata beliau, segala aktiviti ini dibantu oleh tenaga pengajar kehormat yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah dari pusat pengajian tinggi, pegawai-pegawai dari jabatan-jabatan agama, aktivis dakwah dari badan-badan sukarela dan NGO.

“Sudah tentu kita mahu melihat negara ini melalui Wawasan  TN50 menjadi sebuah negara membangun dengan daulah Islamiah dalam tiga dekad akan datang.”

“Bagaimanapun usaha  dan impian ini tidak akan berjaya sepenuhnya jika penyatuan dan kesefahaman dari semua pihak tidak dapat dibentuk dan disatukan dari akar umbi,”katanya.

Comments