Home Tempatan Penutupan Masjid Al-Aqsa Tindakan Pengecut – Azril Mohd Amin

Penutupan Masjid Al-Aqsa Tindakan Pengecut – Azril Mohd Amin

SHARE

KUALA LUMPUR: Pusat bagi Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) dan Inisiatif mengenai Hak Asasi Manusia di Asia (IHRA) mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan oleh rejim apartheid Israel terhadap rakyat Palestin yang menghalang umat Islam daripada menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa, halangan yang pertama kalinya dikenakan terhadap Muslim sejak tahun 1969.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CENTHRA merangkap Pengerusi IHRA, Azril Mohd Amin seperti yang disiarkan dalam portal akhbar The Malay Mail Online, menyekat Muslim daripada melakukan ibadah di masjid suci dan menutup kawasan tersebut telah melanggar undang-undang antarabangsa dan instrumen hak asasi manusia antarabangsa yakni, Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR) dan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966 (ICCPR) yang ditandatangani oleh Israel.

Dokumen-dokumen ini secara jelas mendaulatkan kebebasan dalam beragama di mana kebebasan untuk beribadat membentuk bahagian yang penting dalam dokumen.

Bahkan, tindakan melampau Israel ini juga telah melanggar sumpah Israel untuk menjaga tempat suci semua penganut agama dalam “Deklarasi Penubuhan Negara Israel” (dokumen yang tidak diiktiraf Malaysia), satu dokumen yang diwujudkan sendiri oleh Israel.

Tindakan pengecut oleh Israel ini menunjukkan kekejaman dan mempertikaikan hak Muslim di Palestin dan dunia sekaligus membuktikan kezaliman dan ideologi rasis rejim Zionis, menambahkan lagi ketidakpercayaan terhadap rejim goyah tersebut.

“Jelas sekali rejim pengganas yang mengetuai kerajaan yang dipanggil Israel ini diketuai oleh orang yang gila berperang yang telah membunuh, menghancurkan dan melemaskan rakyat asal Palestin selama berabad-abad. Mereka akan menggunakan pelbagai cara dan helah untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa secara fizikal demi mencapai cita-cita Zionis yang jahat,” kata Azril.

“Serangan terhadap Masjid Al-Aqsa menghina kebebasan beragama secara terang-terangan. Sekatan pihak tentera terhadap Muslim Palestin dari memasuki kawasan suci tidak boleh dibenarkan dalam apa jua cara sekalipun. Rejim Israel akan terus melanggar hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan kecuali apabila Netanyahu dibawa ke muka pengadilan dan dihukum atas pelbagai kesalahan melibatkan jenayah kemanusiaan.”

Kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak walaupun terdapat banyak instrumen yang telah dicabul oleh rejim ini menunjukkan kegagalan PBB dalam melunaskan tanggungjawab terhadap komuniti antarabangsa. Ia merupakan satu indikasi yang tragik terhadap ketidakupayaan kononnya sang penjaga keadilan ini untuk menyelesaikan dan menamatkan kezaliman yang berlaku.

“Kami bersatu hati dan bersolidariti dengan rakyat Palestin. Kami menyeru komuniti antarabangsa untuk sama-sama mengecam tindakan zalim ini dan mengambil tindakan segera bagi menamatkan sekatan yang dikenakan terhadap kawasan suci Masjid Al-Aqsa,” tegas Azril.

Comments