Home Tempatan Penulis ‘Natrah’: ‘Berat sangat Melayu’ gagal sepakat RUU 355

Penulis ‘Natrah’: ‘Berat sangat Melayu’ gagal sepakat RUU 355

SHARE

KUALA LUMPUR, 23 Mei — Sikap orang Islam yang gagal sepakat menyokong rang undang-undang (RUU) pindaan Akta 355 tidak sejajar dengan perjuangan tokoh terdahulu, kata seorang penulis.

Fatini Yaacob, pengkaji kes demonstrasi Natrah di Singapura pada 1950, berkata orang Islam saat ini bergelut menyokong pindaan itu, tidak seperti perjuangan profesor Ahmad Ibrahim yang berjaya memperkukuhkan mahkamah syariah.

“Sampai cakap pasal undang-undang Islam, sampai sekarang kita masih lagi sedang bergelut dengannya,” kata penulis buku “Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata” dalam satu forum di sini semalam.

“Walaupun sebenarnya beliau telah berjuang hingga sampai ke tahap kejayaan, yakni keputusan mahkamah syariah tidak boleh dicabar oleh mahkamah sivil. Sampai ke tahap itu dia berjuang.

“Tetapi sekarang, jadi macam-macam. Bagaimana ia masih lagi jadi masalah? Kita dengan RUU 355 pun masalah, bukan di kalangan orang bukan Islam, dengan orang Islam sendiri pun masalah.

“Kenapa berat sangat Melayu ini? Jadi saya memang pelik dengan keadaan yang berlaku, [kita] masih dengan masalah lagi,” katanya.

Demonstrasi Natrah atau nama asalnya Huberdina Maria Herthogh, seorang remaja Belanda yang dibesarkan sebagai Islam di Terengganu, meledak di Singapura apabila ibu bapanya ingin mengembalikan agama asalnya Kristian.

Menurut Fatini, insiden itu dianggap permulaan perjuangan memartabatkan undang-undang Islam, mahkamah syariah dan penegasan terhadap hak Islam dan Melayu dalam perlembagaan.

“Kalau tidak kerana jadi ini semua, tidak tahu macam macam kedudukan undang-undang Islam. Tidak tahulah bagaimana kedudukan mahkamah syariah yang disebut oleh Ahmad Ibrahim sebagai macam kandang lembu,” katanya.

Mengimbau insiden hampir tujuh dekad lalu, beliau menyifatkan tunjuk perasaan ratusan ribu orang Melayu di Singapura dan Tambak Johor ketika itu sebagai kebangkitan “luar biasa” berbanding kebangkitan melawan penjajah atau penubuhan Malayan Union sebelum itu.

“Lebih besar skala, lebih besar daripada berarak untuk menahan [agar] tidak menjadi Malayan Union, berlaku di negeri-negeri, tetapi [hal] ini berlaku dalam satu tempat, ratusan ribu (orang) yang terlibat.

“Bagi saya kita menang kerana Melayu yang tidur tadi, dengan resepi yang dihantar Allah, bangkitkan Melayu yang tidur. Ini luar biasa, bukan sebarang kebangkitan,” katanya.

Berpengalaman dalam dunia kewartawanan, Fatini yang mengkaji kes itu sejak 27 tahun lalu menganggap peristiwa itu “kebangkitan terbesar demi membela agama dan tanah air.”

“Walaupun kita hilang hanya satu Natrah, tetapi kita bangkit ratusan ribu,” katanya, yang menambah insiden tersebut mengejutkan penjajah Inggeris dalam darurat selama tiga hari tiga malam.

Fatini juga berkata kebangkitan orang Melayu itu telah memecahkan tembok perkauman dan latar belakang, menyatukan pelbagai kaum ketika itu untuk mengikuti rusuhan yang berlaku.

Masyarakat Cina dan India turut serta dalam rusuhan itu, ada yang terkorban. Daripada 18 yang terkorban, hanya tiga orang Melayu terbunuh.

“Memang luar biasa, orang Cina boleh memilih [untuk] duduk tanpa keluar bantai Mat Saleh. Mengapa [mereka] keluar? Ini keadaan pelik dan kebangkitan itu [pemangkin] jadi merdeka awal,” katanya.

The Malay Mail Online

Comments