Home Tempatan Penubuhan Majlis Bekas Ketua-Ketua Polis Negara Mampu Mengubah Persepsi Terhadap PDRM

Penubuhan Majlis Bekas Ketua-Ketua Polis Negara Mampu Mengubah Persepsi Terhadap PDRM

SHARE

KUALA LUMPUR: Integriti dan kekuatan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus dipertahankan melalui penubuhan Majlis Bekas Ketua-Ketua Polis Negara, kata mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurutnya, penubuhan Majlis ini bukan sahaja tidak akan memberi kesan terhadap integriti PDRM malah sudah semestinya dapat membantu meningkatkan lagi integriti kepada pasukan polis secara amnya.

Beliau berkata, cadangan penubuhan sebuah Majlis adalah supaya bekas-bekas Ketua Polis Negara (KPN) yang banyak mempunyai pengalaman menangani pelbagai isu ketika berkhidmat dahulu dapat membantu memberi nasihat kepada pihak kerajaan berkaitan dengan hal ehwal kepolisan.

Tambah beliau, ianya bertujuan untuk menambah baik prestasi pasukan PDRM dan untuk mengubah persepsi negatif terhadap pasukan polis kepada persepsi lebih positif.

Tan Sri Musa berkata, beliau yakin dengan wujudnya Majlis Bekas-Bekas Ketua Polis Negara ini sedikit sebanyak dapat membantu PDRM berdepan pelbagai cabaran terbabit khususnya melibatkan fitnah dan hasutan yang memburukkan imej pasukan itu.

“Saya percaya sebagai bekas Ketua Polis Negara, kesemua mereka ini masih rasa bertanggungjawab untuk memastikan organisasi PDRM terus diyakini rakyat sebagai barisan hadapan menjaga kestabilan dalam negara serta mengekang aktiviti jenayah dari terus berleluasa,” katanya.

Menurut Tan Sri Musa, apa yang boleh diharapkan setelah Majlis ini ditubuhkan adalah supaya ia dapat memberi khidmat nasihat kepada pengurusan tertinggi pasukan jika diperlukan.

“Bagaimanapun, Majlis ini tiada kuasa apa-apa selain memberi penerangan dan khidmat nasihat kepada pihak kerajaan dan pasukan polis,” ujar beliau.

Terdahulu, Musa dalam satu kenyataannya turut membidas segelintir pihak yang mengambil kesempatan daripada kewujudan media sosial untuk membuat fitnah, menghasut serta memperlekeh tugas polis sehingga membuatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan beruniform itu tergugat.

Menurut beliau, pihak terbabit sengaja menggunakan rakaman video yang disebarkan ke media sosial untuk menunjukkan PDRM berada dalam keadaan yang buruk sedangkan kejadian sebenar berbeza daripada apa yang disebarkan.

Comments