Home Tempatan Pensyarah bidas Asri angkuh, sombong, ‘mamak jual rempah’

Pensyarah bidas Asri angkuh, sombong, ‘mamak jual rempah’

SHARE

PETALING JAYA: Keputusan Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin yang hanya mahu berdebat dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai rang undang-undang (RUU) meminda akta syariah, disifatkan seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai berlawanan dengan akhlak Islam.

“Jawapan ini tidak menggambarkan akhlak seorang Islam, apa lagi akhlak seorang yang bertaraf mufti,” kata Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) di UUM, Dr Kamarul Zaman Yusoff, yang sebelum ini mencadangkan agar Asri dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali bersemuka dalam isu RUU itu.

“Ia dipenuhi oleh nada kesombongan, keangkuhan dan kemegahan dengan ilmu dimiliki,” kata Kamarul dalam reaksinya.

Malah, Kamarul mendakwa Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mursyidul am PAS yang meninggal dunia pada 2015, pernah menggelar Asri “mamak penjual rempah”.

“Susah jadinya bila ada yang merasakan diri mereka terlalu besar walhal negeri mereka adalah negeri terkecil sahaja,” katanya.

Kamarul menawarkan pentas debat selepas Khairuddin mencabar pihak yang tidak bersetuju dengan RUU yang dibentangkan Hadi itu untuk bersemuka dengannya.

Cabaran itu disambut sebuah NGO yang rapat dengan Asri, Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim (IQ), yang menawarkan presidennya Dr Rozaimi Ramle untuk berdebat dengan Khairuddin.

PAS selepas itu mempersoalkan Asri kerana tidak menjawab cabaran itu.

Asri kemudian berkata beliau akan hanya bersemuka dengan Hadi.

Kamarul berkata, jemputannya kepada Asri dan Khairuddin adalah sesuatu yang biasa dalam usaha Mapan membicarakan isu semasa negara.

Katanya, sepanjang menerajui Mapan, belum ada tokoh yang tidak menjawab undangan “melainkan tokoh yang bergelar Mufti Perlis ini”.

“Paling tidak, mereka masih ada budi bahasa, walaupun tidak kenal secara peribadi, untuk memaklumkan tidak dapat memenuhi undangan,” kata Kamarul.

“Saya tertanya-tanya, di manakah hebatnya Mohd Asri sehingga beliau boleh berbeza pandangan dengan mufti-mufti lain di dalam isu ini? Tatkala mufti-mufti lain mempunyai pandangan selari dengan Khairuddin bahawa pindaan Akta 355 ini wajib disokong, beliau seorang mempersoalkannya,” tambahnya dalam kenyataan disiarkan lidah rasmi PAS.

Perang mulut antara mufti Perlis itu dengan pimpinan PAS bermula selepas kenyataannya di sebuah forum bulan lalu yang mengkritik penyokong RUU untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, untuk membenarkan hakim syarie menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah Islam.

“Apa yang kita persoalkan ialah syarat melaksanakan (RUU 355) itu cukup atau tidak, adakah kita boleh menghukum, adakah syarat cukup untuk kita menghukum. Tuhan menuntut supaya kita bertanggungjawab,” Asri dilaporkan berkata di sebuah forum di Kuala Lumpur.

Ia mencetuskan respon pedas daripada Khairuddin, yang menuduh Asri mengelirukan umat Islam, bersekongkol dengan “golongan liberal” dan “memandulkan sebarang usaha memperkasakan agama Allah”

Usul Hadi itu dijangka diperdebatkan apabila Dewan Rakyat mula bersidang minggu depan.

Free Malaysia Today

Comments