Home Tempatan Pensijilan Halal JAKIM diyakini negara luar

Pensijilan Halal JAKIM diyakini negara luar

SHARE
Sumber gambar: Malay Mail Online

SEPANG: Malaysia menjadi rujukan pihak luar negara dari segi piawaian dan pensijilan halal kerana sistem yang digunakan di sini menepati ketetapan antarabangsa dari segi konteks dasar syariah, kesucian dan keselamatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu menunjukkan negara luar percaya dan menganggap Malaysia sebagai pelopor serta lebih ke hadapan dalam konteks industri halal global.

“Sekarang, semua negara melihat Malaysia sebagai rujukan, produk yang ada sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga diyakini dunia.

“Ini sudah cukup membuktikan industri halal dan pematuhan halal Malaysia diiktiraf pada peringkat global,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi ‘Quickhalal’ sempena Konvensyen Badan Pensijilan Halal Ke-8 2017, di sini hari ini.

Konvensyen dua hari itu adalah program tahunan yang dianjurkan JAKIM bagi menghimpun badan pensijilan halal dari seluruh negara, yang boleh dikatakan sebagai program terbesar dengan setiap tahun ada ahli baharu yang mendapat pensijilan halal diiktiraf oleh JAKIM.

Sementara itu, mengenai ‘Quikhalal’, Asyraf menjelaskan ia adalah satu aplikasi untuk memudahkan pihak syarikat yang ingin memohon pensijilan halal dan pengaudit, di mana mereka boleh memasukkan segala maklumat sebelum pegawai yang ditugaskan turun ke lapangan untuk membuat pengauditan atau pemeriksaan lanjut.

“Aplikasi ini juga secara tidak langsung menarik minat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau peniaga kecil untuk memohon sijil halal bagi produk mereka selain membantu pengguna mengetahui semua data mengenai syarikat atau organisasi yang mengeluarkan sesuatu produk termasuk dari dalam atau luar negara,” katanya.

Tambah beliau, aplikasi itu juga dikatakan boleh menjimatkan masa untuk memperoleh pensijilan halal, namun buat masa sekarang tempoh itu belum boleh dinyatakan. Aplikasi berkenaan sudah boleh dimuat turun oleh pengguna peranti Android.

Berita Harian

Comments