Home Tempatan Penjelasan isu dan salah faham RUU355

Penjelasan isu dan salah faham RUU355

SHARE

KUALA LUMPUR – Tenggelam dalam lambakan polemik, dibicara dengan pelbagai suara dan nada berbeza, ramai terus keliru dengan usul pindaan Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965.

Pindaan itu, yang juga dikenali dengan singkatan RUU 355, buat kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan usul itu sekali lagi dibaca pada November 2016 dan bakal dihuraikan lebih lanjut pada sesi persidangan akan datang, Mac ini.

Usul persendirian pindaan itu yang dibawa Ahli Parlimen Marang, yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berterusan menjadi polemik sejak mula dibangkitkan.

Bukan sahaja masyarakat bukan Islam, malah orang Islam juga ada yang kurang senang dengan usul itu.

Antara isu-isu tidak berasas yang diketengahkan ialah;

– Usul itu akan membuka ruang kepada pelaksanaan hukuman Hudud. Apa lagi usul itu dibawa oleh Pas yang berhasrat melaksanakan Hudud di Kelantan.

– Ia akan melibatkan seluruh rakyat Malaysia. Maka tindakan itu dilihat sebagai sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan negara ini (unconstitutional);

– Menunjukkan bahawa golongan agamawan yang memperjuangkan pindaan akta ini

lebih suka menghukum daripada mendidik;

– Sejauh mana keikhlasan parti-parti politik yang menyokong pindaan itu dalam memperjuangkan kemaslahatan ummah? Atau mereka mahu meraih kelebihan politik memandangkan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) turut mendokong pindaan yang dikemukakan oleh Pas.

Isu-isu ini yang hangat didebatkan dalam media dan laman sosial, menyebabkan ramai yang sukar melihat kebaikan sekiranya pindaan itu berjaya dilaksanakan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang menegaskan bahawa terdapat keperluan mengapa akta itu, yang kali terakhir dipinda 33 tahun yang lepas, perlu segera ditambah baik.

Antaranya untuk mencegah zina yang semakin berleluasa dalam kalangan orang Islam dan ini terbukti berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara.

Statistik menunjukkan bahawa daripada 1999 hingga 2003, sebanyak 30,978  daripada 70,430 kes pendaftaran anak luar nikah membabitkan anak orang Islam.

Pada 2007 mencatatkan 16,100 pendaftaran anak luar nikah berbangsa Melayu dan jumlah itu meningkat kepada 16,541 pada 2008 dan 17,303 (2009).

“Kadar statistik yang meningkat ini menunjukkan tiada kegerunan dalam kalangan umat Islam untuk melakukan kesalahan jenayah syariah disebabkan kadar hukuman yang sedikit.

“Pesalah boleh membayar denda RM5,000 yang dikenakan dalam sekelip mata sahaja,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, kes-kes berkaitan kekeluargaan, misalnya pembayaran nafkah yang melibatkan kebajikan ibu tunggal, kes berkaitan wasiat dan akidah, dijangka turut mendapat kesan positif sekiranya akta itu dipinda.

Akta 355 tidak selari dengan perlembagaan?

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) Datuk Profesor Mahamad Naser Disa berkata pihak yang menentang usul itu dengan menyatakan akta itu tidak selari dengan perlembagaan, meletakkan asas hujah mereka pada tanggapan bahawa Malaysia adalah negara sekular.

Beliau menangkis tanggapan itu dengan merujuk kepada Perkara Tiga (3) Fasal Satu (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa “Islam IALAH agama bagi Persekutuan” atau dalam terjemahan bahasa Inggeris “Islam is THE religion of the Federation.”

“Hal berkaitan kedudukan Islam di negara kita ini dijadikan asas mengapa mereka menolak Akta 355, kerana mereka memahami bahawa ‘Islam is just mere official religion’, sekadar agama rasmi, bukan ‘the’ religion.

“Perbezaan antara istilah ‘agama rasmi’ dan ‘agama negara’ membawa satu implikasi yang sangat besar,” katanya pada Taklimat Khas Media RUU 355 di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) baharu-baharu ini.

Hal kedudukan Islam sebagai agama negara diperkukuh lagi dengan Perkara 37 Fasal Satu (1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut perkara itu, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara, wajib mengangkat sumpah jawatan yang termaktub dalam Jadual Empat perlembagaan itu.

Sumpah itu, yang secara langsung memperakui kewujudan Allah iaitu dengan lafaz Wallahi, Wabillahi, Watallahi, turut menyatakan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara pada setiap masa agama Islam.

“Kalaulah sebuah negara bersumpah dengan nama ALLAH, bolehkah kita katakan

negara ini negara sekular?” soal beliau tegas.

Tambah beliau Undang-Undang Syariah bukanlah sesuatu yang baru di negara ini.

Malah perundangan Islam mendahului ‘First Charter of Justice’ yang dibawa Francis Light dari England ke Pulau Pinang pada 1807.

“Ini dibuktikan oleh kandungan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303.

“Jadi berdasarkan sejarah tak boleh kita katakan bahawa perundangan yang ada di negara ini diasaskan oleh undang-undang Inggeris,” katanya.

Selain itu, beberapa perundangan bertulis negeri-negeri Melayu terdahulu seperti Hukum Kanun Melaka (sekitar 1400), Undang-Undang 99 Perak (sekitar 1800) turut mengikut prinsip Islam.

Kerisauan pada hudud

Musa menjelaskan bahawa Akta 355 ialah suatu akta peringkat persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen dan ia berkuatkuasa di seluruh negara dan bukannya

Hudud.

Akta itu juga, sejak tahun 1984, telah menghadkan bidangkuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah Syariah sahaja atau perkara-perkara yang berkaitan dengan perintah ajaran Islam. (‘precepts of Islam’)

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam Kanun Keseksaan (Penal Code) seperti mencuri, membunuh dan merogol, tidak tertakluk di bawah akta itu.

Hukuman paling tinggi yang boleh dikenakan terhadap kesalahan jenayah syariah seperti berkhalwat, berzina atau bersekedudukan dan lain-lain adalah denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau sebatan tidak lebih enam kali, atau kombinasi mana-mana hukuman itu.

“Pindaan Akta 355, kalau berlaku pun, hanya akan mempertingkatkan bidangkuasa khususnya Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman yang lebih berat daripada hukuman yang sedia ada sekarang, bukan bererti hendak membenarkan pelaksanaan hudud,” jelas Musa.

Menurut Mahamad Nasir, dalam usul yang dibentangkan Abdul Hadi dicadangkan bahawa apa-apa hukuman dalam hukum syarak boleh dikenakan kecuali hukuman mati.

“Ini kerana Perlembagaan Persekutuan mengecualikan hukuman mati daripada bidang kuasa Akta 355, jadi tanggapan bahawa nanti akan ada hukuman seperti rejam sampai mati atau potong tangan, itu tidak benar,” katanya.

Tambah beliau lagi, sekiranya akta itu berjaya dipinda, sebarang undang-undang, enakmen dan hukuman yang mahu diwujudkan, masih perlu melalui perbincangan di Dewan Undangan Negeri sebelum boleh dikuatkuasakan.

Agamawan cenderung menghukum?

Musa menjelaskan bahawa hukuman atau ‘uqubah’ dalam Islam bukanlah untuk tujuan menghukum semata-mata, tetapi hukuman juga adalah bentuk pencegahan dan pendidikan kepada masyarakat.

Sebelum kesalahan dilakukan, ‘uqubah’ adalah langkah pencegahan, namun apabila kesalahan sudah dilakukan ‘uqubah’ menjadi balasan.

Pengetahuan mengenai peruntukan undang-undang sepatutnya menghalang perlakuan jenayah, namun, jika jenayah telah dilakukan ada peruntukan yang akan mencegah penjenayah daripada mengulangi perbuatan itu.

“Terdapat ayat-ayat Quran yang menyentuh tentang undang-undang yang berkaitan dengan jenayah serta menjelaskan aspek pemeliharaan lima perkara yang disebut al-Maqasid al-Khamsah iaitu; memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

“Uqubah yang dikenakan ke atas penjenayah bertujuan memelihara kemaslahatan manusia sejagat dan menghindari daripada kejahatan (mafsadat), baik di dunia dan akhirat.

“Tujuan itu akan tercapai melalui penguatkuasaan,” hurai Musa.

Tambah beliau lagi Islam telah meletakkan unsur pencegahan sebagai matlamat penting dalam menjaga kemaslahatan manusia dan alam sejagat.

Pencegahan yang universal akan dapat mencegah sebelum jenayah dilakukan atau dikenakan hukuman setelah dilakukan itu dapat memberi pengajaran kepada orang

lain.

“Persoalannya adakah dengan hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah hari ini (denda RM5,000, penjara tiga tahun dan enam kali sebatan syariah) boleh mencapai matlamat-matlamat pencegahan itu?” soalnya.

Polemik politik RUU 355

Polemik politik berkaitan usul pindaan ini timbul apabila usul itu dibentangkan di Parlimen oleh pihak pembangkang.

Usul itu kemudiannya meraih sokongan barisan wakil rakyat daripada parti pemerintah Umno.

Ini telah mengakibatkan pihak-pihak tertentu menyimpulkan bahawa kedua-dua parti berkenaan sekadar berniat untuk mendapatkan kelebihan politik dengan menggunakan isu agama Islam.

Mahamad Naser mengajak masyarakat melihat situasi itu sebagai sesuatu yang positif demi kedaulatan Islam dan kemaslahatan umat di negara ini.

“Polemik RUU 355 akan membawa dua parti politik yang sekian lama bertelagah ke arah politik yang lebih matang,” ujar beliau.

Bagi Musa pula usaha pihak-pihak tertentu terutamanya parti politik menakut-nakutkan bukan Islam adalah suatu tindakan yang tidak berasas, kerana sekiranya pindaan itu diluluskan sekalipun akta itu tidak terpakai kepada mereka.

Menurut beliau, cadangan RUU 355 ini sepatutnya dibahas dan diperincikan

secara profesional dan ilmiah di Parlimen.

Ahli Parlimen beragama Islam sepatutnya memahami dan mendalami apakah

kebaikan dan perkara positif yang bakal berlaku sekiranya RUU 355 diluluskan.

“Sudah tentu ia akan memperkasakan bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah yang

ada hari ini dan pada masa yang sama, pemerkasaan itu tidak langsung akan

mengambil atau memberi kesan kepada peruntukan kesalahan jenayah di Mahkamah

Sivil berdasarkan Kanun Keseksaan.

“Jadi kenapa mereka perlu gusar dan khuatir?” soalnya.

Fakta ringkas mengenai isu RUU 355;   

1. RUU 355 yang akan dibentangkan itu bukan undang-undang baharu tetapi hanya pindaan kepada undang-undang yang sedia ada, iaitu Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984).

2. Undang-undang ini hanya melibatkan umat Islam dan baharu di peringkat cadangan sahaja.

3. Akta ini hanya melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dalam Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah sahaja dan tidak melibatkan kesalahan-kesalahan sivil di bawah Kanun Keseksaan.

4. Akta 355 bukan berkenaan hukuman hudud atau hukuman qisas.

– Bernama

Sinar Online

Comments