Home Tempatan Peniaga patuh arahan label, asingkan berus bulu babi

Peniaga patuh arahan label, asingkan berus bulu babi

SHARE
PENIAGA meletakkan notis berus cat tidak halal di sebuah kedai menjual peralatan pembinaan di Georgetown, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

KUALA LUMPUR: Kebanyakan peniaga perkakasan pembinaan didapati mematuhi arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya mengasing dan melabel berus bulu babi, manakala mereka yang belum berbuat demikian memberi jaminan akan melakukannya secepat mungkin.

Tinjauan di kedai menjual peralatan logam di Pengkalan berhampiran Station 18 di Ipoh, mendapati penjual meletakkan tanda berus tidak halal dan diasingkan dengan berus sintetik.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Zeon berkata, langkah meletakkan tanda dan mengasingkan berus diragui itu dilakukan sejak dua minggu lalu.

Keluar arahan pengasingan “Kami tidak tahu adakah tanda dibuat sendiri itu mengikut spesifikasi ditetapkan kerana tidak ada garis panduan mengenainya diedarkan,” katanya semalam.

BH sebelum ini mendedahkan lambakan berus cat bulu babi dijual di premis perkakasan binaan yang bukan saja digunakan untuk mengecat, malah dalam penyediaan makanan.

Ia hasil ujian makmal Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM) ke atas berus cat yang mempunyai kod A913 dan A680, mengesahkan diperbuat daripada bulu babi.

Susulan itu, KPDNKK memberi tempoh sebulan mulai 9 Februari lalu kepada pengusaha mengasingkan dan melabel produk berus diperbuat daripada bulu babi bagi mengelak kekeliruan.

KPDNKK akan membuat operasi mulai minggu ini bagi memeriksa premis yang gagal berbuat demikian dan akan mengambil tindakan terhadap pengusaha yang degil.

Patuhi peraturan KPDNKK

Di Kuantan, sebahagian besar peniaga menjual perkakasan binaan mematuhi arahan dikeluarkan. Seorang peniaga di Jalan Lim Hoe Lek yang enggan dikenali, berkata tindakan mengasingkan dan melabel berus itu bagi memastikan pengguna beragama Islam tidak was-was mengenainya.

“Difahamkan label akan dikeluarkan pengeluar dalam masa terdekat dan kami kini mengasingkannya di tempat berbeza,” katanya. Di Johor Bahru, kebimbangan mengenai status pengguna berus bulu babi  menyebabkan ramai peniaga membuat keputusan memberhentikan terus penjualannya, sebaliknya hanya menjual berus yang ada logo halal.

Pekerja kedai, Abdul Kalil Suaib, 32, berkata pemilik premis mengumpul semua berus diperbuat daripada bulu babi sejak berita mengenainya tersebar di media sebelum ini.

“Berus bulu babi dikumpul dan dipulangkan kepada pembekal. Sekarang, kami hanya menjual berus nilon bagi memastikan pengguna tidak terkeliru atau was-was mendapatkan produk ini,” katanya.

Bagaimanapun, di Kota Bharu, masih ada peniaga gagal mematuhi arahan itu walaupun diberi tempoh sebulan untuk berbuat demikian.

Tukang cat, Yusof Omar, 56, berkata berus bulu babi perlu dihalang penjualannya supaya tidak mengelirukan pengguna.

Keadaan sama berlaku di Seremban, apabila peniaga masih terus menjual berus berus tanpa dibuat pengasingan atau pelabelan.

INFO

  • Peniaga yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Barang-barang diperbuat daripada mana-mana bahagian babi atau anjing) 2013.
  • Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, manakala penalti untuk pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM250,000.
Berita Harian

 

Comments