Home Tempatan Pengunjung Islam luar negara tidak terkecuali undang-undang khalwat

Pengunjung Islam luar negara tidak terkecuali undang-undang khalwat

SHARE

PETALING JAYA: Pasangan bukan rakyat Malaysia yang melakukan khalwat tidak terlepas daripada tangkapan oleh pegawai penguatkuasa agama.

Ini kerana undang-undang Islam di Malaysia digunapakai ke atas semua umat Islam tanpa mengira kerakyatan atau sama ada mereka pelancong.

“Asalkan mereka masuk ke negara kita, dan mereka beragama Islam dan melakukan kesalahan khalwat, mereka tidak boleh kata negara saya tidak ada hukuman atas kesalahan ini dan tak boleh ditangkap. Sebab undang-undang yang dibuat di bawah bidang kuasa mahkamah syariah untuk (semua) orang Islam,” kata peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader kepada FMT.

Katanya, perkara sama berlaku apabila umat Islam mengunjungi Arab Saudi dan melakukan kesalahan di bawah undang-undang syariah di negara itu.

Bagaimanapun, Akberdin berkata pasangan Islam warga luar yang ditangkap khalwat tidak akan ditahan tetapi dibebaskan dengan ikat jamin sehingga terbukti bersalah.

Katanya, pihak berkuasa tempatan akan mendapat pengesahan status mereka dari negara asal.

“Selalunya kita minta 2 penjamin dari Malaysia untuk pastikan mereka tidak lari,” katanya.

Khalwat, atau perbuatan seorang lelaki dan wanita bukan muhrim berdua-duaan, merupakan salah satu kesalahan di bawah enakmen syariah di setiap negeri di Malaysia.

Hukuman khalwat bagaimanapun berbeza-beza. Berikut hukuman kesalahan jenayah syariah (khalwat) mengikut negeri, di mana Pahang mempunyai hukuman paling ringan dan Perlis dengan hukuman paling berat.

Pahang: Denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih dari 6 bulan.

Kelantan dan Sabah: Denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara kurang dari setahun.

Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Sarawak: Denda tidak melebihi RM3,000 atau tidak lebih 2 tahun penjara.

Perlis: Denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun.

Free Malaysia Today

Comments