Home Tempatan Pengikut Sunnah Pemalas, Hanya Pandai Duduk dan Jampi Serapah – Farouk Musa

Pengikut Sunnah Pemalas, Hanya Pandai Duduk dan Jampi Serapah – Farouk Musa

SHARE

Kuala Lumpur: Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Ahmad Farouk Musa membuat dakwaan bahawa pegangan akidah majoriti umat Islam di dunia termasuk di Malaysia sebagai punca yang melahirkan begitu ramai para dukun dan saintis palsu yang hanya menggunakan jampi serapah.

Beliau dilaporkan berkata sedemikian menurut esei ucapannya yang berjudul “Memugar Pemikiran Reformis” bersempena pelancaran “Wacana Pemikiran Reformis” di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Pemahaman sebeginilah yang telah menghasilkan begitu ramai para dukun yang mengaku boleh melakukan pelbagai pembedahan batin bagi membuang batu karang hempedu dan bermacam pembedahan batin yang lain”, kata Farouk.

“Dan pemahaman sebegini jugalah yang menyemarakkan perkembangan pelbagai pseudoscience atau sains palsu yang hanya menggunakan jampi serapah kerana asas kepada kepercayaan sedemikian ialah kerana Tuhan yang Maha Berkuasa itu boleh melakukan apa saja yang menyanggahi hukum alam,” tambah Farouk.

IRF Bakal Menghidupkan Kembali Ajaran Muktazilah

Oleh yang demikian, IRF bertekad mahu menghidupkan kembali aliran Muktazilah, suatu aliran yang terkeluar daripada kelompok Ahlus Sunnah Wal Jamaah, bagi memperjuangkan keunggulan akal atau ‘the rise of reason’ di kalangan umat Islam. Datuk Dr Farouk Musa adalah individu yang pernah mendakwa Islam yang ada di Malaysia ini sebagai bersifat kuku besi dan menindas kerana tidak membenarkan umat Islam untuk murtad, berharap pemikiran Muktazilah ini dapat mencetuskan semula budaya berfikir yang akan mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan umat Islam pada hari ini.

Farouk menegaskan, “Maka justeru itulah, matlamat dan tekad perjuangan Islamic Renaissance Front adalah untuk meremaja atau memperbaharui pemikiran Kaum Muslimin atau dalam makna lain, memperjuangkan keunggulan akal atau ‘the rise of reason’. Alhasil, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa ia merupakan penjelmaan semula pemikiran dan aliran rasionalisme Kaum Muktazilah di dunia Islam masani”.

Datuk Dr Farouk Musa juga mendakwa umat Islam mundur paling terkebelakang dan kurang memberi sumbangan terhadap sains dan teknologi serta cuma mengharapkan perubahan dengan hanya duduk dan berdoa mengharapkan mukjizat. Menurutnya, kemunduran umat Islam ini disebabkan mereka terperangkap dengan kepercayaan Asha’irah bahawa takdir ketetapan adalah sesuatu yang pasti dan tiada keperluan untuk berikhtiar.

“Mereka mempunyai kepercayaan yang salah bahawa setiap urusan di dunia ini telah ditentukan untuk mereka sepertimana kalam Asha’irah bahawa takdir ketetapan adalah sesuatu yang pasti dan ikhtiyar hanyalah satu ilusi. Tidak kira betapa keras mereka berusaha, apa yang telah ditakdirkan tidak akan berubah.”

Datuk Dr Farouk Musa juga mengkritik umat Islam kerana menolak al-Quran sebagai makhluk. Menurutnya penolakan itu menyebabkan umat Islam gagal membuat penafsiran yang selari dengan persoalan-persoalan moden yang mendesak dalam isu politik dan kenegaraan, termasuklah yang berkaitan hak asasi manusia, demokrasi dan pluralisme.

“Apa yang jelas adalah hasil daripada anggapan bahawa al-Qur’an itu adalah untuk dilaksanakan dan tiada ruang bagi memikirkan kemakhluqkan al-Qur’an yang dengannya juga membawa implikasi bahawa al-Qur’an itu harus dipandang dari sudut historisitasnya yang memungkinkan ia untuk berhadapan dengan isu-isu yang amat mendesak pada abad ini termasuk isu-isu hak asasi manusia, demokrasi, dan pluralisme.”

“Sesungguhnya untuk kita berupaya maju dan membuktikan bahawa agama Islam ini adalah agama yang sesuai dan selaras dengan hak-hak asasi manusia dan konsep-konsep moden dalam kenegaraan, maka agama Islam ini mestilah selaras dengan logika yang waras,” ujarnya lagi.

Comments