Home Kolumnis Pengganas Kulit Putih Dan Kekejaman Media Barat

Pengganas Kulit Putih Dan Kekejaman Media Barat

SHARE

Konotasi Islam bersamaan dengan keganasan, telah disemai secara sistematik oleh media Barat ke dalam pemikiran masyarakat dunia sejak berabad lamanya. Kerana Islam merupakan agama keganasan maka, Muslim adalah pengganas, itulah definisi Barat terhadap agama dan penganut agama Islam yang ditanam kemas dalam minda masyarakat bukan Islam. Namun, mungkin ramai yang kurang sedar bahawa perkara ini mula berlaku pasca kejatuhan komunisme pada awal 90an, pada tahun 80an dan sebelumnya, umat Islam dianggap sebagai sekutu dalam menentang perkembangan komunisme. Pejuang Mujahidin Afghanistan dilihat sebagai hero yang sedang menentang penjajahan Moscow ke atas tanahair mereka. Lalu Amerika Syarikat dan dunia juga bersama mereka pada ketika itu.

Lompat beberapa abad terkedepan, kini mengikut kaca mata Barat, istilah pengganas atau insiden keganasan akan digunakan apabila pihak yang melakukannya bukan berkulit putih atau beragama Yahudi. Penggunaan istilah ini berkuat kuasa sejurus berlaku sesuatu kejadian yang jelas melibatkan kecederaan ataupun kematian di negara Barat walaupun siasatan terperinci belum dimulakan dan fakta kes masih belum diperoleh.

Walaubagaimanapun label ini tidak diberikan kepada manusia seperti Joseph Stalin, Adolf Hitler, Raja Leopold II, George W Bush, Tony Blair dan ramai lagi watak-watak yang telah membunuh jutaan manusia. Selalunya, label pengganas ini digunakan apabila serangan tersebut dilakukan oleh Muslim, seolah-olah gelaran ini dan Muslim, berjalan seiringan.

Walaupun pada hakikatnya lebih banyak kecelakan dan kemalangan jiwa di seluruh dunia yang dilakukan oleh golongan berkulit putih melibatkan tidak terkira jumlah kecederaan dan kematian, kerajaan dan media Barat tidak pernah menggambarkan serangan tersebut sebagai satu keganasan atau serangan yang dilakukan oleh pengganas. Seteruk manapun kejadian yang berlaku, sekiranya orang berkulit putih atau orang Yahudi yang melakukannya, istilah pengganas tidak akan digunakan.

Terkini, pada 1 Oktober 2017 baru-baru ini, satu serangan berdarah telah berlaku di Las Vegas yang mengorbankan hampir 60 nyawa orang awam dan mencederakan lebih daripada 500 orang. Media menggambarkan serangan tersebut sebagai serangan tembakan terburuk pernah berlaku dalam sejarah moden Amerika Syarikat. Suspek, Stephen Paddock, berusia 64 tahun dijumpai mati dalam bilik hotelnya akibat membunuh diri.

Dalam kejadian tembakan di konsert Festival Tuai Route 91 berdekatan dengan Resort dan Kasino Mandalay Bay itu, Stephen Paddock telah menyasarkan tembakan bertalu-talu kepada pengunjung pesta dari bilik hotel yang didudukinya yang berada di tingkat 32. Sewaktu siasatan dijalankan, pihak berkuasa menjumpai 17 laras senapang dan beratus-ratus butir peluru di dalam biliknya.

Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) telah menafikan penglibatan Stephen Paddock dengan mana-mana gerakan terorisme. Dia dikatakan mengganas bersendirian dalam kejadian berdarah ini.

Apabila terbukti lelaki berkulit putih yang melakukannya, media hanya menggambarkan Stephen Paddock sebagai seorang kaki judi yang mempunyai masalah mental dan kesunyian. Bukan itu sahaja, menurut media, motif perlakuan Stephen masih tidak dapat dipastikan kerana dia dikatakan seorang kaki judi tegar yang tidak pernah menimbulkan masalah kepada sesiapa, apatah lagi melanggar peraturan undang-undang. Apa yang melucukan, pihak penguasa berkata mereka juga masih menyiasat agama anutan Stephen.

Situasi ini berbeza seandainya Muslim atau seseorang yang dianggap sebagai Muslim walaupun amalannya jauh sekali dari Islam yang melakukan serangan tersebut, media dan masyarakat Barat tidak akan putus-putus menyalahkan Islam sebagai punca utama, bukan individu atau kumpulan yang terbabit.

Bahkan, ini bukan pertama kali masyarakat dan media Barat bersifat hipokrit dengan tidak menggunakan label ‘pengganas’ kepada keturunan dan puak-puak penjenayah dikalangan mereka sendiri.

Pada 19 April 1995, 22 tahun 6 bulan yang lalu, telah berlaku satu tragedi yang dikenali sebagai pengeboman Oklahoma City yang merupakan kejadian keganasan terburuk di Amerika Syarikat ketika itu. Tragedi itu menyebabkan Bangunan Persekutuan Alfred P. Murrah musnah dan mengakibatkan 168 nyawa melayang apabila bom baja nitrat yang berada dalam sebuah trak sewa meletup. Beratus-ratus orang lagi cedera teruk dalam kejadian pengeboman itu.

Pengebom yang bertanggungjawab, Timothy McVeigh, seorang veteran askar Perang Teluk mendakwa, serangan terbabit adalah untuk membalas dendam terhadap kerajaan Amerika Syarikat yang mengendalikan kes Waco Siege yang berakhir dengan kematian 76 orang pada tahun 1993. Dia juga menyifatkan pengeboman itu sebagai satu revolusi menentang kerajaan Amerika Syarikat.

Timothy berjaya ditangkap pihak berkuasa dan dijatuhkan hukuman mati dengan suntikan beracun pada 11 Jun 2001 di Kompleks Tahanan Persekutuan Terre Haute, Indiana.

McVeigh tidak pernah memohon maaf kerana melakukan pengeboman yang membunuh 168 orang itu tetapi dalam surat yang dikirim kepada Buffalo News dan disiarkan oleh akhbar New York, McVeigh menulis: “Saya berasa kesal kerana mereka terbunuh tetapi begitulah keadaannya. Sudah difahami dari awal lagi bahawa manusia akan terkorban.”

Hairannya, penggunaan istilah pengganas masih tidak terpacul keluar daripada mulut mereka walaupun di saat dunia ditayangkan dan diingatkan dengan sejarah tragedi-tragedi pembunuhan yang dilakukan oleh Joseph Stalin, Raja Leopold II, Adolf Hitler dan pembunuhan berterusan rakyat Iraq dan Afghanistan oleh tentera-tentera Amerika. Malah diawal kejadian yang dikenali sebagai Oklahoma Bombing itu, pengganas Muslim yang dipersalahkan sehinggalah McVeigh sendiri ditangkap.

Adolf Hitler merupakan satu nama yang mampu memberikan ketakutan kepada banyak pihak. Hitler terkenal sebagai pemimpin kejadian holokus, satu pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi secara bersistematik yang dilakukan oleh puak Nazi Jerman. Dikatakan seramai enam juta Yahudi terkorban dalam tragedi ini.

Diktator Kesatuan Soviet, Joseph Stalin terkenal dengan pemerintahan kejamnya. Sewaktu menjadi pemimpin selama lebih dari dua dekad, puluhan juta manusia terbunuh dek kerana dihukum bunuh, mati sewaktu menjadi buruh paksa, kebuluran dan akibat ditindas oleh pemimpin berdarah sejuk dan kerajaan yang dipimpinnya.

Raja Leopold II yang mengasaskan Negara Bebas Congo dan menjadi pemerintah peribadi negara itu telah menyebabkan seramai 10 juta rakyat kulit hitam terbunuh dan ada yang hidup dengan tangan dan kaki yang dikudungkan akibat sifat tamak haloba raja dari Belgium ini.

Dunia mengetahui penderitaan dan pembunuhan rakyat Iraq dan Afghanistan yang tidak berkesudahan selepas bala tentera Amerika melancarkan serangan dengan alasan untuk melindungi negara Amerika dari diserang. Hingga kini, rakyat Iraq dan Afghanistan masih hidup dalam dunia peperangan. Air mata dan tangisan mereka entah bila akan kering menyaksikan pembunuhan ahli keluarga, sanak-saudara dan jiran tetangga di depan mata.

Walaupun begitu, jarang kita dengar agama Kristian ditonjolkan sebagai anutan pembunuh-pembunuh yang teragung di dalam sejarah manusia. Jarang kita dengar ahli akademik Barat mendakwa Kristian sebagai punca keganasan dunia, seperti yang sering dilabelkan ke atas Islam dan Muslim.

Walaupun banyak tragedi yang berlaku dicetuskan oleh masyarakat mereka sendiri, Barat tetap teguh dengan sifat hipokrit, ego dan buta mata hati untuk mengakui bahawa merekalah sebenarnya punca kepada keganasan yang sedang berlaku di seluruh dunia. Tentunya sikap pembuli mereka sememangnya sudah terkenal di seantero dunia!

Comments