Home Tempatan Pengawal keselamatan ancaman keganasan terbaru di Malaysia?

Pengawal keselamatan ancaman keganasan terbaru di Malaysia?

Pengawal keselamatan adalah keutamaan pertama dalam senarai rekrut ahli IS, selain polis dan tentera disebabkan akses mereka kepada senjata api.

SHARE

PETALING JAYA: Proses penapisan yang lemah dan akses kepada senjata api adalah punca pengawal keselamatan di Malaysia kini menjadi sasaran utama IS dalam merekrut ahli.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu New Straits Times (NST) pengawal keselamatan di negara ini berada dalam senarai “Peringkat tertinggi rekrut” IS.

Kumpulan pengganas itu juga berharap dapat merekrut anggota tentera dan polis yang mempunyai akses kepada senjata api, tetapi pengawal keselamatan adalah sasaran jelas yang mudah kerana syarikat keselamatan tidak begitu teliti dalam proses penapisan pengambilan pengawal keselamatan.

Mengenai penahanan berasingan 2 pengawal keselamatan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan IS, di mana seorang daripada mereka bekerja dengan Malaysia Airlines Berhad, Kementerian Dalam Negeri memberi amaran akan membatalkan lesen syarikat yang tidak mematuhi prosedur penapisan ketika mengambil pengawal keselamatan.

Kedua-dua pengawal keselamatan itu bekerja di 2 syarikat berlainan, tetapi ditahan di Kuantan. Seorang daripadanya berusia 37 tahun dan bekerja dengan Malaysia Airlines, manakala seorang lagi berusia 32 tahun dan bekerja dengan sebuah syarikat swasta.

Dalam laporan berasingan, seorang sumber memberitahu pengawal keselamatan yang bekerja dengan Malaysia Airlines itu boleh memasuki pesawat, termasuk bahagian kokpit dan skop kerjanya ialah memastikan operasi penerbangan syarikat itu bebas daripada kecurian, sabotaj dan rampasan pesawat.

Ayob berkata, kedua-dua lelaki boleh mendatangkan risiko serius kerana mereka mempunyai akses ke lokasi strategik dan dilengkapi senjata.

“Pengawal yang ditahan di Kuantan mempunyai senjata api jenis ‘Shotgun Trusty PM4’. Bagaimana jika dia menerima arahan daripada seorang pemimpin IS untuk melepaskan tembakan rambang di kawasan awam?

“Kita mungkin berakhir dengan keadaan sama di Turki,” katanya merujuk serangan maut di sebuah kelab malam di Istanbul yang meragut 39 nyawa pada ambang Tahun Baru.

Beliau berkata, ia berpunca daripada proses penapisan lemah dijalankan syarikat keselamatan dan mereka seolah-olah tidak sedar keadaan sudah berubah di negara ini.

Katanya: “Kita perlu memahami situasi keselamatan sekarang sudah berbeza, jadi kita perlu meningkatkan sistem untuk melindungi orang ramai.”

Selain “pemeriksaan biasa” yang menumpukan latar belakang pemohon dan rekod jenayah, syarikat keselamatan juga perlu meneliti latar belakang keluarga pemohon dan memerhatikan perubahan tingkah laku pekerja mereka.

“Ia adalah tugas penyelia untuk memantau siapa kawan mereka (pengawal keselamatan), termasuk di media sosial.

“Melakukan pemeriksaan mengejut, periksa telefon mereka. Sentiasa ada kemungkinan seorang pengawal keselamatan itu baik dari semua segi sebelum menjadi ancaman berpotensi,” kata Ayob.

Dalam laporan sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, syarikat pengawal keselamatan perlu memastikan pekerja mereka ditapis dengan teliti sebelum mengerahkan mereka bertugas di kawasan berisiko tinggi.

“Syarikat pengawal keselamatan inilah yang mengambil mereka bekerja dan apabila polis siasat mereka, mereka sudah berada dalam senarai. Kita sudah nampak banyak kes serupa, seperti pengawal keselamatan yang menjaga sekolah membunuh pelajar.

“Prosedur menapis pengawal keselamatan sudah ditetapkan kementerian. Mereka perlu mematuhinya,” katanya yang memberi amaran akan membatalkan lesen syarikat pengawal keselamatan melanggar peraturan itu.

Free Malaysia Today

Comments