Home Tempatan Penganjur valet Doa dipanggil Jais dan JMNS

Penganjur valet Doa dipanggil Jais dan JMNS

SHARE

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) telah memanggil penganjur valet doa bagi memberikan nasihat kepada pihak terbabit berhubung perkhidmatan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tindakan penganjur perkhidmatan valet doa yang menyediakan pelbagai tawaran sebelum ini dapat menimbulkan impak negatif kepada kesucian Islam dan mengundang salah faham serta merosakkan akidah.

“Oleh kerana alamat penganjur itu adalah di Selangor, maka Jais dan JMNS telah memanggil penganjur terlibat untuk memberi nasihat agar mereka menghentikan perkhidmatan itu,”katanya bagi menjawab pertanyaan Datuk Normala Abdul Samad (Pasir Gudang-BN) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan kerajaan berhubung isu Valet Doa.

Sebelum ini, isu valet doa mula menjadi semakin panas apabila penganjur menawarkan pihak tertentu di media sosial pakej berdoa di Tanah Suci dengan harga sehingga RM2,500.

Dalam pada itu, Jamil memaklumkan bahawa Jabatan Mufti di beberapa negeri telah mengambil inisiatif secara proaktif bagi memberikan nasihat berkaitan larangan bagi mempromosikan perkhidmatan valet doa tersebut.

Beliau berkata, antara pihak yang terlibat dalam inisiatif untuk memberikan penerangan serta nasihat berhubung perkara ini adalah JMNS, Jabatan Mufti Sabah, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Pahang.

“Kerajaan juga telah memberikan peringatan kepada umat Islam di negara ini agar sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh dengan individu atau pertubuhan yang menawarkan perkhidmatan valet doa ini,” katanya

Selain daripada itu, Jamil memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut menjalankan pemantauan ke atas akaun-akaun di laman Facebook yang menjalankan perkhidmatan Valet Doa.

Tambahnya, Jakim menyokong segala tindakan yang diambil dalam membasmi aktiviti yang boleh menjejaskan kesucian agama Islam.

Sinar Online

Comments