Home Tempatan Penentuan Hukum Syarak Bidang Kuasa Asal Mahkamah Syariah, Keputusan Mahkamah Persekutuan Perlu...

Penentuan Hukum Syarak Bidang Kuasa Asal Mahkamah Syariah, Keputusan Mahkamah Persekutuan Perlu Disemak Semula – CEO IKSIM

SHARE

Putrajaya – Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Indira Gandhi baru-baru ini, pelbagai pihak telah mengeluarkan pelbagai pendapat dan bentuk cadangan supaya kesan kepada keputusan luar biasa tersebut terkawal dan tidak mendatangkan impak negatif kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PSGM) yang menggesa supaya Dewan-Dewan Undangan Negeri semua Kerajaan Negeri meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri dengan memasukkan peruntukan tambahan yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi Majlis, di bawah Enakmen berkenaan.

Susulan kepada cadangan tersebut, Menara.my mewawancara Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Dato’ Prof Mahamad Naser bin Disa untuk mendapatkan pandangan beliau.

“Bidang kuasa penentuan hukum syarak sama ada dalam bentuk semakan kehakiman atau perintah deklarasi sememangnya berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.”

“Beberapa kes Mahkamah Persekutuan yang telah lama established seperti Kes Syaik Zolkaffily dan kes Md Hakim Lee memutuskan kaedah penentuan bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah berdasarkan subject matter approach iaitu sama ada subject matter sesuatu kes itu berada dalam Butiran 1 (item 1) Federal Constitution atau tidak.”

“Oleh kerana “determination of islamic law” ada disebutkan dalam Butiran 1, maka adalah menjadi bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk memutuskan keesahan suatu tindakan pengislaman atau pemurtadan. Ia bukan isu hak asasi tapi ia adalah isu hukum syarak. Di sinilah silapnya  keputusan Mahkamah Persekutuan yang terkini.”

Ketika ditanyakan sama ada cadangan meminta Kerajaan-Kerajaan Negeri meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri sebagai satu respons yang tepat, mantan Peguam Kanan Persekutuan itu mengulas:-

“Mahkamah Tinggi Sivil dalam kes Indira Gandhi telah membatalkan pengislaman anak-anak Indra atas alasan tidak melafazkan syahadah, bukankah jelas ia adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah? Jika kita terus menari mengikut pendekatan salah mahkamah itu, tentulah ianya akan menyusahkan Perundangan Syariah dan pihak berkuasa Islam Negeri-Negeri. Bayangkan berapa banyak remedy seperti yang terdapat di dalam prosedur sivil yang terpaksa digubal. Kesimpulannya, pendekatan ‘remedy prayed for’ bukanlah kaedah yang sesuai bagi  penentuan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Apa yang Mahkamah Syariah perlu perluaskan adalah pendekatan “Suluh” bagi membantu pihak-pihak bertikai menyelesaikan pertikaian mereka tanpa perlu terjebak sebagai satu litigasi yang berpanjangan seperti yang telah berpuluh tahun menghantui sistem perundangan common law yang diamalkan oleh Mahkamah Sivil di Malaysia. Pihak-pihak berkuasa Agama Negeri perlu memohon untuk review keputusan Mahkamah Persekutuan yang terkini itu kerana ia telah menyanggahi banyak prinsip-prinsip kehakiman yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan terdahulu.”

Comments