Home Tempatan Penentangan Akta 355… Agenda Liberal

Penentangan Akta 355… Agenda Liberal

SHARE
ASMAWI TUAN UMAR (dua dari kiri) mempengerusikan sesi soal jawab taklimat khas penerangan usul RUU355 yang turut disertai bersama Dr. Shamrahayu A. Aziz, Mahamad Naser Disa (dua dari kanan) dan Aminuddin Yahaya di di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Penentangan kumpulan tertentu terhadap Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU355) merupakan agenda yang bukan sahaja bertujuan menimbulkan ketakutan dalam kalangan bukan Islam malah melemahkan serta merendah-rendahkan kedaulatan Islam di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Prof. Datuk Mahamad Naser Disa berkata, perkara itu jelas kelihatan apabila apa sahaja isu berkaitan Islam yang dibangkitkan umat Islam pasti akan ditentang.

Menurut beliau, selain isu besar seperti RUU355, isu halal atau haram yang melibatkan perkara kecil juga dimain-mainkan sehingga menjadi besar.

“Apa yang kita (umat Islam) buat, bagaimana kita buat, kumpulan ini akan tentang. Mereka tentang bukan sekadar hanya mahu menimbulkan ketakutan tetapi ada agenda tersendiri, agenda Islamofobia, agenda untuk mengangkat liberalisasi di negara kita.

“Jadi kita perlu faham, fikir ke depan jangan jadi pak turut, mereka mainkan isu ini kita pula menari-nari ikut rentak. Kalau kita tidak celik, masih lagi berkhayal, sampai bila-bila pun kita akan te­rus berhadapan dengan apa sahaja penentangan berkaitan Islam dan syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab taklimat khas penerangan usul RUU355 yang dipengerusikan pendakwah Asmawi Tuan Umar di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarah IKIM, Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin; Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad; Pengerusi Sekretariat Ummat, Aminuddin Yahaya dan Felo Kanan IKIM, Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz.

Utusan Malaysia

Comments