Home Tempatan Penentang Zakir sebenarnya ekstrem, kata PAS

Penentang Zakir sebenarnya ekstrem, kata PAS

SHARE

PETALING JAYA: PAS membidas tindakan sebuah gerakan Hindu dan peguam Siti Kasim mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia yang didakwa melindungi pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali hari ini menyifatkan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan Siti Kasim sebagai ekstrem kerana menolak “perbincangan” ilmu.

“Kita tahu dia membawa wacana keharmonian dan keilmuan dan Dr Zakir tidak menyerang pihak tertentu atau agama tertentu. Mereka yang ekstrem adalah mereka yang menentang wacana ilmu seumpama ini.

“Tindakan Hindraf dan Siti Kasim tidak kena tempat. Mereka sepatutnya beri ruang kepada wacana ilmu tanpa emosi. Mereka yang menolak wacana ilmu seperti Dr Zakir itulah yang mendorong kepada ketidakharmonian.

“Pihak yang tidak berpuas hati saya cadang supaya bersemuka sendiri dengan Zakir dan utarakan pandangan bukannya melakukan bantahan secara emosi,” katanya kepada FMT.

Khairuddin mengulas tindakan 19 orang termasuk pengerusi Hindraf P Waytha Moorthy dan Siti memfailkan saman terhadap kerajaan hari ini di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Mereka mendakwa kerajaan melindungi seorang individu yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian negara. Sehubungan itu, mereka memohon mahkamah mengeluarkan perintah menghalang Zakir memasuki negara ini.

Tuntutan saman itu menamakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketua pengarah Jabatan Imigresen, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, ketua polis negara dan kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin hairan mengapa Siti Kasim sebagai orang Islam mahu Zakir ditangkap.

“Tidaklah pelik jika mereka itu dari kumpulan bukan muslim ataupun kafir yang tidak suka dengan dakwah,” kata Asri di Facebook hari ini.

“Apakah bukti Dr Zakir mengancam? Apakah hanya kerana ada hindu yang menganut Islam lalu mereka ini begitu sensitif atau apakah alasan yang lain?”

Bulan lalu Waytha menghantar surat kepada Zahid berhubung status penduduk tetap Zakir di Malaysia. Beliau berkata Hindraf akan mengambil tindakan undang-undang jika kerajaan gagal membalas soalannya.

Hindraf berkata demikian selepas Zakir dijadualkan hadir di sebuah masjid di Perlis untuk menyampaikan khutbah Jumaat 10 Februari lepas.

Kehadiran Zakir mencetuskan kekecohan tahun lepas selepas didakwa menghina agama Hindu.

Sebelum ini beliau dilaporkan dilarang memasuki United Kingdom dan Kanada selepas dikatakan menyokong kumpulan pengganas al-Qaeda.

Free Malaysia Today

Comments