Home Tempatan Pendakyah Kristian Semakin Berani – Tan Sri Musa Hassan

Pendakyah Kristian Semakin Berani – Tan Sri Musa Hassan

SHARE

KUALA LUMPUR: Agenda Kristianisasi yang berlaku di Malaysia hari ini bukanlah suatu khayalan lagi malah, ia kini benar-benar wujud di kalangan kita, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurutnya, hari ini paderi-paderi Kristian ini sudah berani untuk memurtadkan orang-orang Melayu Islam secara terang-terangan berbanding dahulu apabila proses pemurtadan itu mereka lakukan secara sembunyi-sembunyi dan masih terkawal tetapi, hari ini ancamannya terhadap umat Islam bukan lagi khayalan tetapi sudah menjadi realiti.

Beliau berkata, semasa menjadi Ketua Polis Negara dahulu, ada juga terdapat usaha-usaha Kristianisasi di kalangan umat Islam tetapi pihaknya tetap pantau dengan serius dan mengambil tindakan tegas dan pantas.

“Masih ingatkah dengan Ketua Paderi Melayu, Kamaruddin Ahmad yang kita tangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana dia cuba memurtadkan ramai orang Melayu beragama Islam ketika itu?” katanya.

Tan Sri Musa Hassan berkata, dalam perlembagaan negara kita, terdapat Artikel 3 yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan dalam negara ini dan merupakan agama yang dianuti majoriti rakyat negara Malaysia dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan harmoni tetapi perlembagaan yang sama juga menyatakan bahawa penganut agama lain tidak boleh berdakwah kepada umat Islam.

“Maka peraturan undang-undang ini perlu dipatuhi kerana lain-lain agama tidak boleh cuba untuk berdakwah atau cuba menukarkan orang Islam kepada agama lain dan kalau dilakukan ia adalah satu kesalahan dari sisi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan dibawah enakmen negeri yang berkaitan dan telah termaktub di dalam perlembagaan yang berkaitan dengan agama Islam.”

Ditanya apakah tindakan beliau terhadap golongan pendakyah Kristian ini, beliau berkata, “Jika dulu kita pantau, dan kita ambil tindakan tegas termasuk memberi amaran dan jika dilakukan juga kita tangkap dan kenakan tindakan undang-undang ke atas mereka.”

Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti dan paling biasa terjadi usaha kristianisasi ini ialah di Selangor dan Kuala Lumpur yang merupakan antara kawasan ‘panas’ gerakan ini dijalankan.

Tan Sri Musa Hassan berkata, di bawah Enakmen Syariah Undang-Undang Agama, adalah menjadi kesalahan jika penganut agama lain cuba untuk memujuk, memaksa ataupun cuba mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk menukar agama mereka.

“Setiap negeri sudah ada undang-undang tersebut bagi menjaga kesucian Islam,” katanya.

Persoalan adakah terdapat apa-apa hubung kait dengan parti politik DAP dan usaha kristianisasi ini, Tan Sri Musa Hassan berkata, “Kalau kita lihat sekarang bahawa banyak tempat-tempat yang dijadikan gereja dan gereja ini bukan yang telah diluluskan untuk dibina sebagai gereja tetapi, merupakan rumah-rumah kedai di seluruh Malaysia.”

“Pada saya ini adalah usaha untuk cuba membawa minat dan mempengaruhi orang-orang Islam untuk datang ke gereja mereka termasuklah di Gombak,” katanya.

Menurutnya, di kawasan Gombak ini merupakan penempatan orang Melayu tetapi mengapa terdapat gereja dan inilah antara salah satu usaha golongan Kristianisasi yang cuba mendakwah dan menarik minat orang Melayu untuk menyertai mereka.

Menyentuh kontroversi yang hangat diperkatakan berkenaan Hannah Yeoh, Tan Sri Musa Hassan menyarankan ADUN Subang Jaya tersebut supaya menghormati perlembagaan Malaysia dan pada pendapat beliau, Hannah Yeoh sendiri merupakan seorang ahli politik dan seharusnyalah beliau celik tentang undang-undang dan perlulah beliau mematuhi dan memahami Perlembagaan Artikel 11.

Tan Sri Musa Hassan berkata, “Di Malaysia, memang terdapat kebebasan beragama tetapi mereka tidak boleh mempengaruhi orang-orang Muslim dalam apa keadaan dan cara sekalipun untuk menukar agama.”

Bagaimanapun, beliau melihat keadaan sudah berubah, jika dahulu pihak-pihak ini melakukan usaha dakwah mereka ini secara tersorok berbanding sekarang di mana mereka sudah berani berdakwah secara terbuka.

“Jadi badan-badan yang bertanggungjawab perlu lebih tegas mengambil tindakan dan peruntukan undang-undang yang sedia ada sudah cukup untuk mendakwa dengan apa cara sekalipun.”

Tan Sri Musa Hassan berkata, jika zaman dahulu tidak berlaku perkara ini walaupun banyak sekolah-sekolah Katolik dan tidak adapun usaha-usaha dan cubaan mereka ini untuk mengganggu orang-orang Islam.

“Saya sendiri mempunyai pengalaman bersekolah di sekolah Katolik tetapi ketika itu, tidak ada pula mereka menyuruh saya untuk masuk ke agama mereka dan kami sebagai orang Islam juga tidak pernah memaksa mereka untuk memeluk agama Islam kerana perkara agama ini tidak boleh dipaksa dan perlu mengikut kerelaan hati setiap individu,” katanya.

Beliau berkata, perlu diingatkan, ketua bagi agama Islam adalah Sultan, Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, kumpulan Kristian kena menghormati dan jika masih tetap melaksanakan dakwah Kristian maka jelaslah mereka ini tidak menghormati perlembagaan negara dan tidak menghormati Raja-Raja Melayu di negara ini.

Comments