Home Pendapat Pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq

Pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq

SHARE

Mac 2017, genap 14 tahun Amerika bertapak di Iraq. Dengan nama “Operation Iraqi Freedom” kononnya ingin membebaskan rakyat Iraq daripada kezaliman seorang Diktator yang mereka sedang hadapi. Namun setelah peluru pertama ditembak, Iraq yang begitu gah dengan mahligai Saddam Hussein sekeluarga berselerak di seluruh negara kini ibarat padang jarak, padang tekukur. Peperangan saudara masih berlangsung dan manusia berterusan kehilangan nyawa adalah gambaran tragis keadaan di Iraq kini.

Kuasa Besar dunia Amerika Syarikat bersama sekutunya menyerang tanpa membezakan antara tentera dan orang awam, bersenjata mahupun tidak, tua atau muda, lelaki atau wanita.

Serangan terancang tentera AS dari segenap penjuru telah berjaya menggulingkan Iraq dibawah pemerintahan Saddam Hussein dalam waktu yang begitu singkat. Pencerobohan AS melalui serangan udara secara besar-besaran dan kemudiaanya operasi daratan ini telah menyaksikan kemusnahan yang begitu dahsyat ke atas rakyat Iraq dimana ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa telah terkorban, kemusnahan harta benda dan khazanah kebudayaan bumi Iraq ribuan tahun lama telah dikuburkan dengan sekelip mata.

Ekoran daripada pencerobohan tidak bermaruah ini, banyak aspek yang menjadi kayu ukur pembangunan sesebuah negara telah terjejas, terutamanya dalam aspek pendidikan, kesihatan dan sumber manusia. Menurut laporan US Invasion, Occupation of Iraq, kematian rakyat Iraq mencecah seramai 1 juta orang di mana jumlah kematian ini lebih besar dari statistik yang dikhabarkan oleh Iraq Body Count (IBC). Apa yang lebih tragis, penggunaan senjata kimia ke atas rakyat Iraq telah menyebabkan kecacatan janin, barah dan kerosakan otak yang terpaksa ditanggung oleh generasi kanak-kanak di Iraq. Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ramai pesakit yang mengalami kecacatan sejak lahir dan leukemia akibat penggunaan senjata kimia tersebut.

Kedatangan tidak diundang tentera AS yang kononnya ingin membebaskan rakyat Iraq dari cengkaman pemerintahan Saddam Hussein yang bersifat diktator dan kejam hanyalah retorik semata-mata. Antara alasan utama Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush  mahu menyerang Iraq adalah kerana menyangka Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran. Dakwaan palsu yang direka ini sentiasa diulangi di hadapan orang ramai supaya mempercayainya demi menghalalkan serangan ke atas Iraq.

Pada masa yang sama, kekayaan sumber minyak yang terdapat di Iraq telah mengukuhkan lagi agenda Amerika Syarikat untuk menakluki Iraq melalui siri peperangan yang panjang. Sebagai sebuah kuasa besar barat, sumber minyak merupakan alat yang penting dalam mendominasi ekonomi dunia sekaligus memberi pengaruh yang besar ke atas negara lain. Henry Kissinger, Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat pada era President Richard M. Nixon menyatakan “Control oil and you control nations; control food and you control the people”. Berpaksikan pegangan ini, tidak hairanlah sekiranya Iraq dan rakyatnya menjadi mangsa kekejaman dan keganasan tentera AS demi merealisasikan matlamat mereka.

Pembebasan rakyat Iraq daripada pemerintahan diktator Saddam Hussein akibat pencerobohan tentera AS ke atas Iraq boleh diibaratkan keluar daripada mulut harimau dan masuk mulut buaya. Rakyat Iraq yang telah lama menderita selama 24 tahun akibat sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) ke atas mereka. Kedatangan Amerika yang mencetuskan peperangan ini langsung tidak membebaskan kehidupan rakyat Iraq, malah menjerat mereka ke kancah penderitaan yang lebih tragis. Kesan daripada peperangan itu, kestabilan negara Iraq terjejas teruk dan berada dalam keadaan hura-hara.

Pada Disember 2011, Amerika Syarikat dibawah pimpinan Presiden Obama telah membawa bala tenteranya keluar dari Iraq. Negara Iraq dipulangkan dibawah pimpinan Presiden Maliki. Rakyat Iraq berharap pemerintahan dibawah Presiden Maliki akan mengembalikan semula keamanan yang telah diragut oleh tentera AS. Malangnya, harapan tinggal harapan. Presiden Maliki terdiri dari golongan Syiah yang didokong oleh Amerika Syarikat telah mendominasi kekuasaan dan mengamalkan diskriminasi ke atas golongan Sunni. Keadaan ini telah memburukkan lagi perpecahan dalam kalangan masyarakat Iraq yang membawa kepada pertumpahan darah.

Sememanganya, kuasa besar Amerika Syarikat dan sekutunya layak digelar pengganas dunia atas sikap tidak bertamadun mereka menceroboh negara Iraq. Sekiranya niat Amerika ‘ikhlas’ mahu membebaskan sesuatu kaum daripada keganasan, tentunya Israel yang patut dibedil terlebih dahulu atas kekejamannya yang nyata terhadap Palestin. Implikasi daripada pencerobohan tentera AS ke atas Iraq dan rakyatnya wajar diambil iktibar memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai banyak kepentingan strategik seperti minyak dan Selat Melaka. Tidak mustahil negara kita juga boleh menjadi mangsa pencerobohan kuasa asing sekiranya kita gagal mempertahankan keutuhan perpaduan kaum. Oleh itu, rakyat Malaysia haruslah bersatu padu dan menyelesaikan segala polemik dalaman agar keamanan dan kemakmuran negara dapat dipertahankan bersama.

Comments