Home Tempatan Pencalonan untuk Peguam Negara Mesti Berkredibiliti dan Mengikut Perlembagaan – UMMAH

Pencalonan untuk Peguam Negara Mesti Berkredibiliti dan Mengikut Perlembagaan – UMMAH

SHARE

KENYATAAN MEDIA GERAKAN PEMBELA UMMAH:

Pencalonan untuk Peguam Negara Mesti Berkredibiliti dan Mengikut Perlembagaan

4 Jun 2018

1. Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) sebagai gabungan lebih daripada 300 pertubuhan-bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia dan melangkaui sebarang kepentingan politik kepartian, memandang berat tindakan kerajaan Pakatan Harapan menamakan pengamal undang-undang Tommy Thomas (TT), sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Peguam Negara kini, Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohamed Apandi bin Haji Ali (Apandi Ali). [1]

2. Dalam nafas yang sama, UMMAH berdiri teguh di belakang Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, atas kebijaksanaan dan ketegasan baginda-baginda sekalian, dalam menolak TT daripada dilantik bagi menjawat jawatan Peguam Negara. [2]

3. Jawatan Peguam Negara ialah jawatan penting yang diperuntukkan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, dan mempunyai peranan, antara lainnya, untuk menasihati YDPA dan Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang. Justeru, sudah barang tentu seseorang Peguam Negara itu perlu mempunyai kredibiliti dan kecermatan dalam menangani sesuatu teks perundangan.

4. Sungguhpun Ummah tidak mempertikaikan kebolehan TT sebagai pengamal undang-undang kanan yang mempunyai pengalaman selama lebih 40 tahun, tetapi malangnya UMMAH meragui kredibiliti dan kecermatan beliau. Hal ini kerana dalam satu kertas karangan beliau yang dibentangkan dalam Konferens Perundangan Malaysia pada tahun 2005 bertajuk “Is Malaysia a Secular State?”, beliau telah didapati menyalah-petik perenggan 169 teks laporan Suruhanjaya Reid, semata-mata bagi menegaskan kononnya Malaysia ialah sebuah negara sekular.

5. Walaupun UMMAH menghormati perbezaan pandangan dan hak mana-mana individu untuk memberikan pendapat secara akademik — sama ada Malaysia bertaraf sekular ataupun tidak — tetapi pandangan tersebut perlu disandarkan kepada hujah yang tepat, dan bukan menyalah-petik sesuatu teks, semata-mata bagi menyokong sesuatu pendapat dan bagi mengelirukan khalayak awam. Dalam hal ini, TT didapati telah menggugurkan 10 perkataan dalam laporan Suruhanjaya Reid (sama ada secara khilaf, ataupun disengajakan), bagi menunjukkan seolah-oleh Suruhanjaya tersebut menyarankan bahawa Malaysia didirikan sebagai negara yang sekular. Sungguhpun hal ini telah dibidas oleh peguam Aidil Khalid dalam tulisan bertajuk “Wither the Myth of a Secular Nation”,[3] tetapi dalam bukunya yang terbit pada tahun 2016, “Anything but the Law”, [4] TT memilih untuk tetap menyalah-petik Laporan Suruhanjaya Reid tersebut, tanpa membetulkannya. Kelakuan sebegini adalah kelakuan yang tidak bertanggungjawab dan sudah tentu bukan keperibadian yang dicari bagi seseorang yang hendak dilantik menjawat jawatan Peguam Negara.

6. Tambahan pula, hakikat bahawa TT adalah peguam yang mewakili Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bagi prosiding komital dalam pertuduhan rasuah terhadap Lim juga menimbulkan keraguan berkenaan konflik kepentingan, sama ada TT akan dapat berlaku adil jika dilantik sebagai Peguam Negara, bagi meneruskan pertuduhan terhadap Lim. [5]

7. Seterusnya, perlu juga diingatkan bahawa Perkara 145(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang Peguam Negara itu memegang jawatannya “selama diperkenankan oleh YDPA.” Justeru, selagi mana YDPA masih belum memperkenankan penamatan jawatan Apandi Ali sebagai Peguam Negara, maka Kerajaan PH tiada hak dan tiada berbidangkuasa mencadangkan sebarang nama untuk dipertimbangkan, kerana jawatan tersebut belum pun kosong. Bahkan tindakan Kerajaan PH berkeras untuk menamakan TT adalah langkah yang bercanggah Perlembagaan.

8. Dalam apa keadaan sekalipun, jikapun YDPA kelak memperkenankan penamatan Apandi Ali daripada memegang jawatan Peguam Negara, suka untuk UMMAH mencadangkan bahawa adalah lebih molek sekiranya calon Peguam Negara dipertimbangkan dari kalangan mereka yang sudah sememangnya berada dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman kerajaan (bagi mengelak sebarang konflik kepentingan).

Tuan Haji Aminuddin Yahaya
Ketua Sekretariat

Comments