Home Antarabangsa Pencabulan Kebebasan Beragama di India

Pencabulan Kebebasan Beragama di India

SHARE

PUTRAJAYA: Toleransi sesama agama semakin berkurangan dan pencabulan kebebasan untuk beragama semakin meningkat di India semenjak pemerintahan rejim Perdana Menteri Narendra Modi. Ini adalah berdasarkan laporan yang dikeluarkan dan ditaja oleh US Commission on International Religious Freedom (USCIRF).

Laporan yang bertajuk ‘Constitutional and Legal Challenges Faced by Religious Minorities in India’ atau Bahasa Melayunya ’Cabaran Perlembagaan dan Perundangan yang Dihadapi oleh Kumpulan Minoriti Agama di India’, antara lain menyebut masyarakat minoriti agama dan Dalit menghadapi diskriminasi dan ditindas di India. Yang mana menyaksikan jenayah kebencian, boikot sosial dan pertukaran agama secara paksa telah meningkat secara mendadak sejak tahun 2014.

“Di bawah Parti Kongres dan kerajaan BJP yang menerajui masyarakat minoriti agama dan Dalit, kedua-duanya telah menghadapi diskriminasi dan penganiayaan disebabkan oleh gabungan undang-undang yang tidak jelas ataupun yang tidak diperincikan. Sistem keadilan jenayah yang tidak cekap dan kurang konsisten telah menyebabkan jenayah kebencian, boikot sosial, serangan dan penukaran agama secara paksa telah meningkat secara mendadak, khususnya pada tahun 2014,” menurut laporan itu.

Menurut laporan tersebut juga, sejak mereka mengambil alih kuasa pentadbiran, masyarakat minoriti agama telah dihina  dan pelbagai serangan keganasan serta penukaran agama secara paksa telah dilakukan oleh kumpulan gabungan nasionalis Hindu yang terdiri daripada kumpulan  Rashtriya Swayamsevak Sangh, Sangh Parivar dan Vishva Hindu Parishad.

Selain itu, laporan tajaan USCIRF yang telah ditulis oleh Iqtidat Karamat Cheema, Pengarah Institute for Leadership and Community Development yang berpusat di United Kingdom, menyatakan bahawa terdapat peruntukan perlembagaan dan undang-undang negeri dan kebangsaan di India yang tidak mematuhi piawaian antarabangsa berkenaan kebebasan beragama atau kepercayaan, termasuk Perkara 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB dan Perkara 18 Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Berpolitik. 

Menurut Pengerusi USCIRF Thomas J. Reese, India merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang agama dan mengamalkan demokrasi berperlembagaan di mana undang-undang diamalkan secara saksama terhadap rakyat tanpa mengira agama dan melarang diskriminasi yang berasaskan agama. 

“Walau bagaimanapun, realitinya jauh berbeza. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, toleransi agama semakin merosot dan pencabulan kebebasan beragama telah meningkat di beberapa buah tempat di India. Untuk menterbalikkan trajektori negatif ini, India dan kerajaan-kerajaan negeri perlu menetapkan undang-undang mereka agar selaras dengan perlembagaan negara dan piawaian hak asasi manusia di peringkat  antarabangsa,” katanya.

Merujuk kepada laporan tersebut, India dan kerajaan negeri dipercayai melanggar kuasa perlembagaan yang sepatutnya melindungi hak-hak dan kebebasan beragama masyarakat minoriti. Namun, ramai daripada masyarakat minoriti di India  tidak mengetahui tentang undang-undang yang boleh memelihara hak mereka. 

Antara negeri di India yang banyak terlibat dengan diskriminasi agama dan kaum adalah Uttar Pradesh, Andhra Pradesh, Bihar, Chhattisgarh, Gujarat, Odisha, Karnataka, Madhya Pradesh, Maharashtra dan Rajasthan. 

Walau bagaimanapun, laporan tersebut mencadangkan agar kerajaan Amerika Syarikat menggesa kerajaan India supaya mendesak negeri-negeri yang masih belum memansuhkan atau meminda undang-undang ‘anti-conversion’ atau anti-penukaran agama, agar selaras dengan norma-norma antarabangsa. Selain itu, mereka juga menggesa kerajaan India untuk segera menarik balik sekatan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja untuk kebajikan minoriti di India.

Laporan itu juga menyatakan bahawa kerajaan India perlu merombak semula undang-undang ‘anti-conversion’ yang berunsur kekerasan, penipuan, dan melanggar kebebasan hak asasi seorang manusia. Justeru itu, kerajaan India disyorkan menerima pakai Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman.

Comments