Home Tempatan Penagih Dadah Memerlukan Bantuan Masyarakat untuk Berubah

Penagih Dadah Memerlukan Bantuan Masyarakat untuk Berubah

SHARE

PUTRAJAYA, 25 Februari : ”Kesan penagihan dadah sememangnya memberi impak negatif kepada institusi keluarga, komuniti, masyarakat dan juga negara. Mana tidaknya, penagih dadah bukan sahaja terlibat dalam jenayah meragut dan merompak, malah cenderung ke arah yang lebih ekstremis iaitu membunuh, akibat desakan kewangan untuk membeli dadah,” Kata Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi.

Mengulas lanjut berkenaan seorang ibu 32, yang membawa anak lelakinya 11, ke tempat menagih dadah tempoh hari,  Muhammad Yusuf berkata kes sebegini amat serius kerana masyarakat terutamanya golongan belia sangat mudah mendapatkan sumber dadah daripada pihak pengedar yang tidak bertanggungjawab.

“Ramai orang yang terperangkap dengan masalah dadah melalui pengakhiran hidup yang binasa. Sekiranya sumber utama pengeluaran dadah ini tidak dibendung , Negara kita mungkin akan menjadi seperti Negara Mexico dimana terlampau mudah untuk seseorang individu memiliki dadah,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa masyarakat, agensi dan pihak keluarga terutamanya tidak membuang mereka yang terjebak dalam penagihan dadah ini, sebaliknya perlu bersatupadu dan bekerjasama membanteras gejala ini dengan mekanisma yang lebih efektif dan tidak hanya bergantung harap kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) semata-mata.

Menurut beliau,” Kita seharusnya menjadikan akhlak Rasulullah sebagai qudwah hasanah (suri teladan) dengan memberi kata-kata yang baik kepada mereka (penagih dadah) dan bukannya mencemuh golongan ini  sehingga mereka rasa tertekan  dan tidak diterima oleh lapisan masyarakat.

“Saya melihat sesetengah pihak polis melakukan kekerasan dengan cara menyepak mereka ibarat bola, seolah-olah mereka yang terlibat dengan dadah ini tidak mempunyai harga diri dan boleh diperlakukan dengan sewenang-wenangnya. Walhal, mereka tidak seharusnya ‘dididik’ dengan cara sebegitu , manusia ini bukan binatang,” tegasnya lagi.

Beliau juga berpendapat majoriti mereka yang terjebak dengan dadah adalah golongan belia yang duduk di kampung dan menganggur. Persekitaran yang pasif dan pengaruh rakan setempat mendorong mereka terjerumus ke dalam kancah dadah.

Tambah beliau, ”gejala dadah ini semakin kronik disebabkan  ‘tauke-tauke’ dadah ini bukan sahaja dilindungi oleh agensi-agensi  tertentu, tetapi orang parti politik juga terlibat dimana kuasa dan wang ringgit menjadi keutamaan dan kepentingan”.

“Oleh itu, semua agensi, komuniti masyarakat , penduduk setempat , ahli jawantankuasa masjid dan persatuan agama Islam dan bukan agama Islam  harus memainkan peranan dalam membendung gejala dadah yang boleh melenyapkan masa depan genarasi akan datang,” katanya lagi.

Comments