Home Tempatan Pemuda PAS anjur himpunan aman bantah rejim zionis Jumaat ini

Pemuda PAS anjur himpunan aman bantah rejim zionis Jumaat ini

SHARE

BANGI, 24 Syawal 1438H, Selasa – Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan satu himpunan aman di Dataran Rehal Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada 21 Julai ini sejurus selepas solat Jumaat.

Ketuanya, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, himpunan itu diadakan bagi menyatakan perasaan serta bantahan terhadap rejim zionis kepada dunia.

“Rejim haram Zionis Israel berterusan menunjukkan keangkuhan mereka dengan menzahirkan persengketaan terhadap Islam dan umatnya.

“Tindakan terbaharu mengharamkan umat Islam Palestin berhimpun menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Aqsa jelas langkah provokatif.

“Kita memberi amaran kepada Zionis Israel, sama ada bebaskan Masjid al-Aqsa, atau mereka sedia menanti kebangkitan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Dewan Pemuda PAS mengajak seluruh umat di Malaysia untuk menyuarakan bantahan terhadap rejim Israel yang kini sedang mencemar dan mencabul kesucian rumah ibadah umat Islam.

“Kebisuan dunia terhadap perkara ini sememangnya telah dijangka, hatta jika mereka mahu tunduk kepada agenda Zionis seluruhnya pun tidaklah kami gentar. Sehubungan itu ayuh umat Islam Malaysia, khususnya anak muda, kita berhimpun menunjukkan suara dan ikrar kita,” tegasnya.

Jumaat lalu, polis Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan tidak membenarkan solat Jumaat diadakan selepas tiga penduduk Palestin dan dua polis Israel terbunuh dalam pertempuran bersenjata di perkarangan masjid itu.

Susulan insiden itu, polis Israel mengarahkan orang ramai beredar dari Masjid Al-Aqsa dan menutupnya kepada awam.

Bagaimanapun, Reuters melaporkan Israel telah membuka semula kawasan tersebut semalam.

Comments