Home Tempatan Pemimpin BJP Didakwa Merobohkan Masjid Babri

Pemimpin BJP Didakwa Merobohkan Masjid Babri

SHARE

PUTRAJAYA: Beberapa ketua daripada parti pemerintah India telah didakwa di mahkamah dengan jenayah konspirasi berkaitan dengan kemusnahan sebuah Masjid Babri yang telah wujud pada seawal abad ke-16.

Menurut satu laporan yang diterbitkan oleh British Broadcasting Corporation (BBC), mereka yang didakwa pada hari Selasa lepas adalah bekas Ketua Parti Bharatiya Janata (BJP) Lal Krishna Advani, Ketua Veteran Murli Manohar Joshi dan Menteri Persekutuan Uma Bharti.

Namun kesemua tertuduh menyangkal tuduhan memberikan ucapan kebencian yang menyebabkan ratusan perusuh-perusuh Hindu di India menyerang dan meruntuhkan Masjid Babri di Ayodhya pada tahun 1992. Kejadian tersebut menyaksikan seramai 2,000 nyawa terkorban.

Penganut agama Hindu mendakwa kononnya kawasan masjid tersebut merupakan tempat kelahiran salah seorang dewa agung mereka, iaitu Dewa Ram dan kuil Hindu yang berada di situ dimusnahkan oleh penjajah beragama Islam yang kemudiannya membina Masjid Babri di tempat yang sama pada abad ke-16.

Biro Penyiasatan Sentral (CBI) sejak sekian lama berpegang bahawa kemusnahan masjid tersebut sebenarnya merupakan peristiwa yang dirancang.

Mahkamah khas telah ditubuhkan selepas Mahkamah Agung memerintahkan bahawa tiga orang tersebut perlu dibicarakan atas peranan yang mereka mainkan dalam tragedi kemusnahan masjid tersebut.

Pihak mahkamah menambah bahawa perbicaraan perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun: perbicaraaan perlu diadakan pada setiap hari dan sidang mahkamah tidak boleh ditangguhkan walau apapun berlaku.

Sidang perbicaraan di Mahkamah Agung telah bermula sejak tahun 2011 selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi di mana dua daripada tiga tapak yang menjadi punca perbalahan diperuntukkan kepada penganut Hindu dan selebihnya diperuntukkan kepada penganut Islam.

Pada tahun 2010, Mahkamah Tinggi Allahabad telah menyentuh tiga isu utama. Isu pertama, kawasan yang menjadi punca perbalahan adalah tempat kelahiran Dewa Ram. Isu kedua, Masjid Babri telah dibina selepas kuil dirobohkan dan isu ketiga, masjid tersebut tidak dibina berlandaskan syariat Islam.

Awal tahun ini, Ketua Hakim JS Khehar menggesa agar kedua-dua penganut agama Hindu dan Muslim menyelesaikan pertelingkahan ini melalui perundingan bahkan, menawarkan dirinya untuk menjadi orang tengah.

Kes ini telah terlalu lama berada dalam sistem perundangan India yang sememangnya terkenal dengan kelembapannya sehingga kebanyakan pemohon-pemohon asal sudah meninggal dunia.

Comments