Home Tempatan Pemerkasaan TN50 oleh Siswazah

Pemerkasaan TN50 oleh Siswazah

SHARE

Kemajuan teknologi dan perkembangan ekonomi perlu diseimbangkan bersama pembangunan minda masyarakat, khususnya golongan belia bagi mencapai kemajuan negara yang maksima dalam menjayakan Wawasan TN50 dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Presiden Majlis Pewakilan Pelajar  UNISZA Mohd Nor Shazwan Zainuddin berkata,  aspirasi generasi muda hari ini dilihat semakin cenderung dan berminat ke arah pembentukkan jati diri yang berlandaskan Islam yang sebenar.

Menurutnya,kesedaran ini boleh dipupuk mengikut kaedah dan kesesuaian peringkat umur  serta tahap kefahaman seseorang di kalangan golongan yang berbeza.

Beliau yang juga Setiausaha  Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan  berkata, seluruh Persatuan Belia Islam perlu memperluas serta mengukuhkan pengetahuan tentang Islam terhadap diri  masing-masing terlebih dahulu jika mahu menerajui kepimpinan TN50.

“Memperbanyakkan diskusi seperti yang telah dianjurkan, termasuk turun ke lapangan bagi menjelaskan isu merupakan satu gerak kerja yang baik berikutan masih ramai belum jelas sepenuhnya berhubung perkara TN50 ini.

Katanya, hal ini disebabkan belia merangkumi pelbagai peringkat umur maka sudah semestinya kefahaman juga bertahap dan memerlukan penjelasan yang bervariasi.

Selain itu katanya, memperbanyakkan maklumat kepada media cetak dan media elektronik bagi menyalurkan info yang tepat kepada semua lapisan masyarakat agar misi TN50 ini dapat diterima dengan baik.

Ditanya mengenai strategi dan perancangan pihak UNISZA untuk melibatkan diri dengan TN50 beliau berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklum balas daripada mahasiswa untuk diketengahkan kepada Pihak Kerajaan.

Selain itu, UNISZA akan mengadakan diskusi ilmiah dan penerangan berkenaan TN50 kepada mahasiswa selain menjalinkan bekerjasama dengan agensi yang bertanggungjawab bertujuan membuka platform kepada mahasiswa mengetengahkan idea termasuk melalui artikel, graphik,  pertandingan dan sebagainya.

“Setelah semuanya selesai kita akan membawa usul ini kepada pengetahuan Kementerian Belia dan Sukan ketika penganjuran bengkel penerangan diadakan kelak,”katanya.

Sementara itu, Mantan Presiden UNISZA Aziamy Abdul Aziz berkata, sebagai belia Islam yang berada dibawah satu payung kita tidak sepatutnya bersaing atas nama  agama sehingga boleh mengakibatkan perpecahan.

Menurutnya, penyediaan struktur yang mantap untuk menghadapi era masa depan perlu dibina dari sekarang bagi memastikan visi TN50 tidak tersasar.

Katanya, mentaliti kelas ketiga harus dikikis dan menjadikan pemikiran cara Islam sebagai perkara utama.

Aziamy berkata, keimanan di dalam diri setiap individu muslim itu perlu diperkukuhkan sehingga ke semaksimanya.

“Pemahaman terhadap Islam itu sendiri perlu diperluas dan diperbetulkan mengikut landasan yang tepat barulah dapat mewujudkan negara maju yang seimbang dan berkualiti sekaligus menjayakan misi TN50,”katanya.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa berkata, pihaknya merancang untuk turun padang ke segenap kampus-kampus Institut Pengajian Tinggi (IPT), Sekolah-sekolah serta Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk menerangkan apa itu TN50 dan kepentingan anak muda Islam menyertai dan memberi sumbangan dalam bentuk idea dan pandangan.

Menurutnya, kita perlu melihat kepada sejarah Negara dan sejarah ketamadunan dunia, di mana Negara yang telah maju selalunya mempunyai pelan perancangan “roadmap” yang teliti.

“Maka TN50 adalah agenda untuk meletakkan “roadmap” untuk membina Negara lebih maju pada tahun 2050.

“Pihak GPMS akan mengumpul semua idea dan pandangan yang akan ditapis dengan teliti supaya idea tersebut benar-benar mempunyai kualiti serta realistik. Hasil ini kita akan salurkan melalui platform yang betul ke pengetahuan Perdana Menteri setelah benar-benar selesai,”katanya.

Comments