Home Tempatan Pemerkasaan Infrastruktur Mahkamah Syariah Sememangnya Berjalan

Pemerkasaan Infrastruktur Mahkamah Syariah Sememangnya Berjalan

SHARE

KUALA LUMPUR: Pemerkasaan infrastruktur Mahkamah Syariah telah lama berlaku dan banyak peruntukan telah digunakan oleh pihak kerajaan untuk membina Mahkamah Syariah yang lebih selesa, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. 

Menurutnya, pembiayaan pembinaan bangunan baru yang menempatkan Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Dewan, Kamar Hakim dan lain-lain disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan manakala tanah pula disediakan oleh Kerajaan Negeri.

“Infrastruktur kebanyakan Mahkamah Syariah adalah memuaskan. Sebagai contoh, terbaru pada 5 Disember 2016 Mahkamah Syariah Pulau Pinang telah berpindah ke bangunan baru di Batu Gantung,” katanya.
 
Beliau berkata, sehubungan dengan itu, tangga gaji Hakim Syariah juga mesti disemak kembali supaya ianya sama seperti rakan-rakan mereka iaitu Hakim-Hakim Mahkamah Sivil.
 
Zainul berkata, jika Hakim Mahkamah Sivil mempunyai Akta Saraan Hakim yang memperincikan saraan bagi Hakim-Hakim Sivil, Hakim Mahkamah Syariah juga mestilah mempunyai undang-undang yang sama bagi memperincikan saraan mereka.
 
“Perkara yang lebih penting ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah ke atas mestilah dikeluarkan daripada kategori pengkhidmat awam bagi menjamin kebebasan penghakiman mereka sebagaimana Hakim Mahkamah Tinggi Sivil ke atas,” katanya.
 
Menurut beliau, pada masa yang sama, hierarki Mahkamah Syariah perlulah distrukturkan semula kepada 5 tier sebagaimana Mahkamah Sivil.
 
“Perkara ini sedang dalam tindakan Kerajaan Persekutuan dengan rundingan dibuat kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri,” katanya.
 
Ditanya adakah pemerkasaan RUU 355 boleh dimasukkan isu gaji hakim untuk dibahaskan, beliau berpendapat, Akta 355 adalah akta yang memperuntukkan had hukuman yang dibenarkan kepada DUN untuk membuat undang-undang.
 
“Ia tidak memberi kuasa kepada DUN untuk membuat kesalahan baru atau hal-hal pentadbiran kerana pemberian kuasa untuk membuat apa-apa kesalahan melanggar perintah agama Islam sudahpun dijelaskan di dalam Jadual Kesembilan Senarai II Butiran 1 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
 
Menurut beliau, manakala isu-isu pentadbiran seperti penambahbaikan operasi dan khidmat Mahkamah Syariah tidak memerlukan undang-undang dibuat.
 
“Buat masa ini pun, sudah ada pelbagai jawatankuasa di peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-Negeri bagi meneliti dan mengambil tindakan untuk penambahbaikan ini seperti Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah, Jawatankuasa Arahan Amalan, Jawatankuasa Peguam Syarie dan banyak lagi,” katanya.
 
Beliau berkata, selain itu terdapat persidangan berkala membincangkan isu ini juga seperti persidangan Ketua Hakim Syarie seluruh Malaysia, Mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah seluruh Malaysia dan banyak lagi.
 
“Malah, di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga ada Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang dipengerusikan oleh Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman, Penasihat Syariah Jabatan Peguam Negara yang berfungsi mencadangkan undang-undang baru dan menyeragamkan undang-undang Syariah di seluruh Malaysia,” katanya.

Comments