Home Antarabangsa Pembunuhan Ko Ni bermotif politik

Pembunuhan Ko Ni bermotif politik

SHARE
Ko Ni, a prominent member of Myanmar's Muslim minority and legal adviser for Myanmar's ruling National League for Democracy, is seen during an interview in Yangon January 13, 2016. Picture taken January 13, 2016. Ko ni was shot dead outside the Yangon International Airport on January 29, 2017. Phyo Thiha Cho/Myanmar Now via REUTERS

YANGON 31 Jan. – Parti pemerintah Myanmar, Liga Kebangsaan Demokratik (NLD) mendakwa insiden pembunuhan peguam Islam, Ko Ni yang juga penasihat kepada Kaunselor, Aung San Suu Kyi bermotif dendam politik dan dilakukan oleh pengganas.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan oleh NLD, pihaknya me­ngutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ko Ni, 65, kerana ia adalah satu perbuatan pengganas menentang dasar parti berkenaan.

“Ko Ni ada­lah orang kanan kepada Suu Kyi dan tiada galang gantinya,” jelas kenyataan tersebut.

 Mangsa ditembak mati oleh pembunuh upahan ketika hendak menaiki teksi bersama cucu lelakinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon pada pukul 5 petang waktu tempatan Ahad lalu.

Turut maut dalam kejadian itu ialah seorang pemandu teksi yang cuba menghalang suspek sebelum berjaya ditangkap oleh orang ramai.

“Siasatan awal polis mendapati serangan itu bertujuan menjejaskan kestabilan negara ini. Siasatan masih berjalan dan keselamatan turut dipertingkatkan selepas insiden berkenaan,” me­nurut kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Presiden Htin Kyaw yang dipetik akhbar The Global of New Light Myanmar.

Ko Ni yang terkenal de­ngan kelantangan memperjuangkan hak asasi Islam dipercayai baru pulang ke Myanmar selepas menyertai rombongan sebuah de­legasi ke Indonesia.

Beliau juga sering mengkritik sentimen anti-Islam dicetuskan oleh kumpulan pelampau Buddha dan peranan tentera yang dikatakan lebih berkuasa daripada kerajaan Suu Kyi. – AFP/REUTERS

Utusan Malaysia

Comments