Home Tempatan Pembunuhan Imam Palestin, Adakah Melibatkan Agen Perisikan Negara Luar? – Tan Sri...

Pembunuhan Imam Palestin, Adakah Melibatkan Agen Perisikan Negara Luar? – Tan Sri Musa Hassan

SHARE

Kuala Lumpur: “Kes pembunuhan Imam warga Palestin yang juga seorang jurutera bernama Fadi al-Batsh, 35, di Kondiminium Idaman Puteri, Setapak baru-baru ini didakwa melibatkan agen asing (angkara Mossad) adalah perkara yang amat merbahaya kerana dikatakan melibatkan risikan agen asing yang datang ke negara kita dan ini merupakan kes kedua berlaku di sini,” demikian tegas mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurutnya, kes seumpama ini, yang pertama adalah dikaitkan dengan pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara iaitu anak sulung Kim Jong II yang dibunuh agen saraf VX pada 13 Febuari 2017 di KLIA2 selepas seorang wanita didakwa menyapu mukanya dengan bahan kimia beracun.

Beliau berkata, ini adalah trend yang tidak baik untuk negara kita kerana kita khuatir bahawa perisik-perisik asing ini akan menggunakan negara kita untuk melakukan sesuatu perkara di luar batas walaupun ia adalah berkaitan dengan salah laku di negara mereka.

“Jadi perkara ini adalah suatu perkara yang patut kita pantau betul-betul kerana ditakuti nanti akan melibatkan warga kita sendiri.”

Ditanya, mengenai sesetengah media cuba menggambarkan beliau (Fadi al-Batsh) sebagai pakar roket dan seumpamanya yang seolah-olah mahu memberikan justifikasi beliau dibunuh kejam Tan Sri Musa Hassan berkata, “kita tidak tahu secara terperinci latar belakang beliau sebenarnya, tetapi saya selalu merasa apabila sesuatu perkara yang berlaku yakni apabila melibatkan orang bermusuhan sudah tentu untuk menjustifikasikan tindakan mereka maka mereka akan menuduh dia membuat roket, pakar bom dan sebagainya tetapi kita tidak ada bukti yang menunjukkan benda itu betul.

“Kalau benar dia pakar roket sekalipun lebih baik dia lakukan di negaranya sendiri buat apa dia datang ke sini.”

“Jadi ini satu perkara yang saya rasa bahaya kerana selalunya kita takuti bahawa berlakunya False-flag istilah yang sering digunakan oleh ‘Spy’ ataupun agen risikan profesional.”

Beliau berkata, False-flag adalah berkaitan satu operasi sulit (covert) yang dilakukan oleh sesuatu pihak menggunakan tipu daya (deception) bagi tujuan menuduh ia dilakukan oleh kumpulan tertentu atau negara tertentu. Selalunya dilakukan oleh pakar-pakar dalam perisikan untuk melakukan huru-hara dalam sesebuah Negara.

Menurut beliau lagi, modus operandinya “apabila agen-agen perisik ini melakuan sesuatu jenayah tetapi mereka menunding jari kepada orang lain sehingga berlakunya pergaduhan di dalam negara tersebut.”

“Jadi pihak penguatkuasa seperti polis perlu memantau dan mengenal pasti aktiviti-aktiviti agen luar kalau mereka ada di negara kita kerana mereka ini kadang-kadang melibatkan diri sebagai NGO dan sebagainya bagi mengaburi gerakan mereka.”

Persoalannya, adakah tepat sangkaan bahawa Malaysia dilihat sebagai negara yang mudah untuk pembunuh upahan keluar masuk terutamanya selepas kes Korea Utara kemudiannya kes Imam Palestin pula Tan Sri Musa Hassan berkata, hal ini kerana mereka ini boleh sahaja datang ke negara kita sebagai pelancong dan sebagainya, sebab itu kita sentiasa kena ada hubungan rapat dengan agensi-agensi perisikan luar negara supaya kita mengetahui gerakan dan tindakan-tindakan dalam negara kita.

Menurut beliau, walaupun negara kita bersikap terbuka menerima kehadiran pelancong asing dengan pebagai status dan latar belakang maka kita tetap perlu berhati-hati dengan perkara seumpama ini.

“Misalnya, di negara kita sendiri ramai pendatang tanpa izin yang boleh direkrut oleh pihak-pihak berkenaan, sebab itu kita tidak boleh terlepas pandang dan perlu sentiasa berhati-hati kerana kita tidak tahu mereka berkiblat di mana.”

Bagaimanapun, kita tidak menuduh mana-mana negara tetapi cara bagaimana dilakukan menunjukkan kerja mereka yang profesional dan pihak polis juga sudah mengeluarkan gambar lakaran pihak yang terlibat dan inilah peranan pihak polis untuk menyiasat dan mengenal pasti mana-mana pihak yang terlibat.

Ujar beliau, “Pihak keselamatan perlu sentiasa alert dan mendapatkan maklumat-maklumat tertentu kerana ini merupakan satu perkara yang boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat dan negara, tetapi jika terlalu takut sangat pun tidak boleh juga, maka sebaiknya kita kena sentiasa berwaspada.”

Saranan beliau, “Orang ramai tidak perlu gusar kerana saya percaya pasukan polis kita mempunyai kepakaran-kepakaran tertentu dan tahu cara bagaimana untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara ini daripada dicerobohi atau didatangkan ancaman yang tidak selamat oleh pihak-pihak yang lain.

Comments