Home Tempatan Pemberita non-muslim sebenarnya tidak faham Perundangan Syariah – Lukman Sheriff

Pemberita non-muslim sebenarnya tidak faham Perundangan Syariah – Lukman Sheriff

SHARE

KUALA LUMPUR: Pemberita non-muslim sebenarnya tidak faham Perundangan Syariah sehingga artikel berhubung perkara itu sering dilaporkan secara bertentangan dan sering mencetuskan polemik bantah-membantah, kata peguam Lukman Sheriff Alias.

Menurutnya, inilah punca terbesar yang didapati dan ianya terbukti selepas satu sidang media yang diadakan baru-baru ini melibatkan soal jawab bersama sebilangan pemberita non-Muslim.

“Tak hairanlah, laporan di media cetak non-muslim dan portal berbahasa Inggeris terutamanya sering tersasar daripada maksud sebenar selama ini, dan ia berpunca daripada kegagalan wartawan itu sendiri yang tidak mampu untuk memahami perundangan Syariah,” katanya.

Menurutnya lagi, sejak dahulu non-muslim tidak pernah membantah atau menyoal jenis kesalahan hudud ini dan mereka telah memahami dan menerima bahawa perundangan Syariah itu tidak akan dikenakan ke atas mereka.

Beliau juga menambah, pindaan Akta 355 ini telahpun dicadangkan oleh JAKIM sejak hampir 10 tahun yang lalu, namun oleh kerana kekangan birokrasi, ia lebih mudah dibentangkan secara persendirian.

Menurut beliau, pemberita inilah yang menyebarkan laporan yang terpesong sehingga menyebabkan kebanyakan pembaca mereka tidak faham, ditambah pula dengan sogokan fakta palsu mengenai natijah buruk kepada kelompok masyarakatnya sehingga menimbulkan persepsi negatif kepada perlaksanaan hukuman Syariah.

Katanya lagi, mengapa mereka tidak mahu berterus terang sahaja niat mereka yang bencikan Islam? Mengapa perlu memanjang-manjangkan cerita?

“Kebanyakan pemberita non-muslim ini berfikir hudud merupakan isu terbaru sebab itu dia berusaha mengumpul maklumat untuk membantah hukum hudud ini sedangkan ianya telah lama wujud cuma ia tidak ada dalam pengetahuan mereka”.

Lukman juga berkata, “Bagi memudahkan kerja-kerja menjejak undang-undang itu saya berikan cluenya iaitu Mahkamah Syariah ialah warisan unggul Kesultanan Melayu/Islam yang telah berdaulat sejak permulaan kedaulatan Islam di alam Melayu sebagaimana yang tercatat pada batu bersurat Terengganu iaitu 1303(M)”.

Menurutnya, kedaulatan Mahkamah Syariah kemudiannya diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan (B1SNJ9PP)berdasarkan Kuasa Negeri sebagaimana yang diberikan menurut Perkara 74(2)Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya lagi,  mungkin laporan di dalam versi Bahasa Inggeris agak kurang dikeluarkan menyebabkan kebanyakkan non-muslim yang lebih gemar membaca berita dari bahasa ibunda mereka termasuk laporan berbahasa Inggeris tersasar kefahamannya.

“Kenapa mereka tidak mahu laporkan kebenaran fakta sebenar mengenai perkara ini di media berbahasa Inggeris?” katanya.

Beliau berkata, pilihan untuk menaikkan kadar hukuman kepada kadar yang lebih tinggi adalah terpulang kepada negeri-negeri untuk memastikan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang tersebut.

“Akta 355 tidak menyentuh bidang kuasa Mahkamah Sivil untuk membicarakan kes-kes jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

“Yang pasti, pindaan Akta 355 adalah bertujuan meningkatkan hukuman bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dalam pengawalan moral yang sekarang ini berhadapan dengan gejala sosial yang amat serius dikalangan umat Islam. Malangnya, mesej ini tidak dikeluarkan di media non-muslim”, katanya.

“Maka, kesalahan-kesalahan seperti mencuri, merogol, rasuah, pecah amanah, merompak dan ragut tidak termasuk di bawah Perlembagaan Mahkamah  Syariah”, katanya.

Menurut beliau lagi, jelas ketidakfahaman ini berpunca secara tak langsung dari pemberitaan wartawan yang tidak dapat memahami naratif Perlembagaan Syariah itu sendiri.

Namun, pemberita dari media berbahasa Inggeris ini yang paling gemar memutar belit fakta, mahu kaitkan semua perkara dalam satu masa, undang-undang Sivil dicampur aduk ke dalam undang-undang Syariah.

Free Malaysia Today (FMT) dan Malay Mail Online (MMO) contohnya, merekalah antara agen yang kuat dan sering “spin” fakta, disebabkan ketidakfahaman pemberita mereka sendiri dalam membantu menyelesaikan isu ini.

Kata Lukman, yang peliknya yang akan dihukum dibawah perundangan Syariah adalah orang Islam, bukan non-muslim pula diletakkan di bawah perundangan Sivil sahaja, tetapi mereka yang paling kuat membantah-bantah.

Comments