Home Tempatan Pelajar cemerlang perlu dalami bidang agama

Pelajar cemerlang perlu dalami bidang agama

SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menggalakkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendalami bidang Pengajian Islam ke peringkat tertinggi.

Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2017, Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti, berkata pendekatan itu mampu memartabatkan kedudukan agama serta umat Islam.

Beliau berkata, usaha itu juga membolehkan lebih ramai cendekiawan Islam dilahirkan di nusantara, sekali gus menyumbang bakti kepada perkembangan Islam di benua lain seperti Eropah.

“Kerajaan jangan hanya hantar pelajar yang mengaji Islam, mereka yang tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. Ini antara satu stereotaip yang berlaku kepada kebanyakannya tenaga pengajar Islam ketika ini.

“(Mereka) yang tak dapat semua A, mengambil bidang Pengajian Islam, (sedangkan) ramai yang dapat semua A, belajar dalam bidang perubatan, kejuruteraan. Kita amat memerlukan ulama yang berwibawa dan intelektual pada masa ini,” katanya ketika ditemui media, di sini.

Terdahulu, beliau diumum penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1439H/ 2017. Penyampaian anugerah disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini.

Anak kelahiran Perak ini pernah mendapat perhatian media selepas beliau satu-satunya bangsa Melayu dan wakil nusantara yang berjaya menjadi tenaga pengajar di universiti terkemuka, Oxford University, United Kingdom.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Berita Harian

Comments