Home Tempatan Peguam: RUU henti tukar agama anak tak sah, bercanggah Islam

Peguam: RUU henti tukar agama anak tak sah, bercanggah Islam

SHARE

PETALING JAYA: Rang undang-undang (RUU) yang meminta untuk meminda undang-undang perkahwinan dan perceraian bagi menghentikan pertukaran agama anak secara sebelah pihak mungkin terbatal dan tidak sah kerana ia menentang perundangan Islam, kata peguam senior.

Haniff Khatri Abdulla yang juga peguam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kitab Islam menyatakan apabila seorang ibu atau bapa memeluk Islam, anaknya akan secara automatik menjadi Muslim jika anak itu belum akil baligh.

Terdahulu, Haniff menyatakan sokongan kepada tafsiran bekas ketua hakim negara Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim terhadap Perlembagaan Persekutuan, iaitu mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan perundangan Islam dari Al-Quran dan sunah adalah batal dan tidak sah.

“Dalam Islam ada perundangan mengenai isu berbangkit apabila seseorang memeluk Islam,” katanya kepada FMT.

“Ini termasuk perbalahan terhadap apa yang terjadi kepada anak hasil perkahwinan sebelum memeluk Islam, agama anak itu dan hak penjagaan.

“Atas dasar itu, sebarang pindaan kepada Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) yang tidak mematuhi perundangan Islam, dalam situasi itu, akan terbatal dan tidak sah.

“Itu yang saya hujahkan sejak 12, 13 tahun lalu,” katanya.

Pindaan RUU itu, yang bermatlamat untuk menyelesaikan konflik penjagaan anak yang timbul selepas ibu atau bapa memeluk Islam, dibentangkan di Parlimen, November lalu.

Ia susulan beberapa kes berebut hak jagaan anak yang dibawa ke mahkamah apabila pasangan yang memeluk Islam menukar agama anak tanpa kebenaran bekas suami atau isteri, menyebabkan trauma kepada semua pihak terbabit, terutama anak yang masih kecil.

Akta 164, sebaik saja dipinda dan dilaksanakan, akan membenarkan hanya mahkamah sivil boleh menentukan perkara membabitkan perkahwinan sivil, walaupun jika salah seorang daripada pasangan sudah memeluk Islam.

Pindaan yang dicadangkan di bawah RUU Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 2016 itu termasuk Seksyen 88A yang baharu iaitu dengan jelas menyatakan “kedua-dua pihak” dalam perkahwinan sivil perlu bersetuju untuk menukarkan agama anak bawah umur kepada Islam.

“Ya, saya katakan cadangan pindaan itu boleh terbatal dan tidak sah di bawah Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Artikel 3, kerana ia menentang perundangan Islam.

“Walaupun pasangan itu pada mulanya bukan Islam, dan salah seorang kekal menjadi bukan Islam, ia tidak mencampuri hak mereka yang bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata apabila seseorang memeluk Islam, secara automatik perundangan Islam terpakai ke atasnya kerana Islam ialah agama rasmi persekutuan, dan tanggungjawab mahkamah untuk mengguna pakai perundangan Islam terhadap umat Islam.

Bagaimanapun, Haniff berkata perundangan Islam “adil dan saksama”, ia memperuntukkan hak jagaan anak kepada ibu, walaupun jika ibunya bukan Islam sementara bekas suami serta anak mereka sudah memeluk Islam.

“Jadi tidak ada isu hak jagaan anak. Isu yang ada ialah cara membesarkan anak itu yang perlu diselia, dan mengikut pandangan saya, oleh pihak berkuasa Islam.

“Tetapi anda boleh letak syarat di mana majlis Islam negeri berkenaan perlu dibenarkan akses kepada anak itu sekurang-kurangnya sebulan sekali, bagi memastikan anak berkenaan boleh menunaikan ajaran Islam,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments