Home Tempatan Peguam Negara Mesti Mampu Memelihara Kedudukan Islam – Ustaz Nasrudin Tantawi

Peguam Negara Mesti Mampu Memelihara Kedudukan Islam – Ustaz Nasrudin Tantawi

SHARE

Pelantikan Peguam Negara mesti bertitik tolak daripada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah Agama bagi Persekutuan, demikian menurut Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi seperti yang dilaporkan oleh portal Berita PAS.

“Islam adalah Agama Persekutuan. Pelantikan Peguam Negara mesti bertitik tolak dari situ. Mesti seseorang yang dilihat mampu mempertahankan Islam sebagai Agama Negara.”

Menurutnya lagi, Yang di-Pertuan Agong bersumpah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara Agama Islam pada setiap masa.

“Sumpah YDP Agong adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan di mana Baginda bersumpah “memeliharakan pada setiap masa Agama Islam”.”

Peguam yang dicadangkan oleh Perdana Menteri mestilah mampu untuk memelihara kedudukan Islam sebagai Agama Negara, dan agak janggal sekiranya Peguam Negara dilantik dari kalangan bukan Islam atau mana-mana individu yang tidak mampu untuk menggalas tugasan tersebut sepertimana yang diperlukan.

“Maka Peguam Negara yang dicadang oleh kerajaan untuk dilantik oleh YDP Agong mestilah mampu untuk memelihara Agama Islam bagi pihak Baginda YDP Agong. Agak janggal sekiranya Peguam Negara dilantik daripada yang bukan Islam atau mana-mana individu yang tidak mampu untuk menggalas tugas tersebut dengan berkesan.”

Dalam pada itu, Ustaz Nasrudin turut menyatakan pandangan beliau bahawa pelantikan Peguam Negara mesti menepati kehendak majoriti penduduk negara ini yang beragama Islam dan sensitiviti umat Islam wajar dipelihara.

Pelantikan Peguam Negara yang berkecenderungan untuk menolak Islam sebagai Agama Negara perlu dielakkan.

“Pelantikan Peguam Negara juga mesti menepati kehendak majoriti penduduk negara yang beragama Islam. Sensitiviti umat Islam wajar dipelihara. Mestilah mengelak daripada melantik seorang Peguam Negara yang kecenderungan pemikirannya adalah bercanggah dengan Islam sebagai Agama Negara.”

Ustaz Nasruddin turut menyatakan bahawa penolakan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara disokong sepenuhnya oleh PAS.

“Tindakan SPB YDP Agong menolak cadangan Tommy Thomas untuk dilantik sebagai Peguam Negara adalah disokong sepenuhnya oleh PAS dan umat Islam serta mereka yang mengutamakan keharmonian dan menghormati Institusi Raja– Raja Melayu jua harus bersama memberi sokongan yang padu.”

Comments