Home Tempatan Peguam Negara beri amaran hindari rasuah

Peguam Negara beri amaran hindari rasuah

SHARE
Mohamed Apandi Ali (tengah) bersama dengan Engku Nor Faizah Engku Atek (dua dari kiri), Peguam Cara Negara II, Zauyah Be T. Loth Khan (dua dari kanan), Siti Zainab Omar (kiri) dan Mohd. Azhar Mohd. Yusoff selepas majlis perasmian Persidangan Pegawai Undang-undang Jabatan Peguam Negara (AGC) 2017 di Melaka, semalam. – UTUSAN/azli ahad

MELAKA 12 Jan. – Mulanya sekadar ajakan menikmati makan malam di hotel mewah sebelum dipelawa bermain golf dan me­lancong bersama yang akhirnya terjerumus kepada fasa meminta dan memberi wang tanpa segan-silu, tegas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali merujuk kepada amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Sambil memberi peringatan kepada pegawai di jabatannya dan sektor awam amnya supaya menjauhi amalan keji itu, Mohamed Apandi berkata, seperti mana anai-anai, rasuah akan memamah rakus keutuhan negara sedikit demi sedikit tanpa dise­dari.

Malah, bekas Hakim Mah­kamah Persekutuan itu mengingatkan penularan gejala rasuah dalam masyarakat Malaysia adalah lebih dahsyat kesannya daripada penularan mana-mana wabak yang wujud di dunia kerana wabak rasuah hanya boleh diperbaiki dengan keinsafan hati dan diri.

“Hanya bermula dengan pelawaan makan malam di hotel-hotel terkemuka, ia kemudian berjangkit pula kepada pelawaan bermain golf dan melancong bersama dengan semua perbelanjaan ditanggung, akhirnya ia merebak dan menjerumus kepada pene­rimaan dan pemberian wang ringgit serta barangan berharga secara terbuka tanpa rasa segan silu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ber­ucap merasmikan Persida­ngan Pegawai Undang-Undang Ja­­batan Peguam Negara 2017 di sebuah hotel di sini hari ini.

Yang turut hadir, Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek; Ketua Bahagian Pena­sihat merangkap Pengerusi Per­sidangan, Datuk Siti Zainab Omar dan Timbalan Penggubal Undang-Undang Parlimen, Mohd. Azhar Mohd. Yusoff.

Persidangan tersebut yang diadakan selama tiga hari menghimpunkan sebanyak 631 peser­ta terdiri daripada pegawai dan ka­kitangan Jabatan Peguam Ne­­gara bagi membincangkan ha­la tuju serta tanggungjawab masing-masing selaku penasihat undang-undang utama negara selaras dengan cogan kata baharu jabatan iaitu ‘Bertekad Menegakkan Keadilan’.

Sehubungan itu, Mohamed Apandi menyeru agar pegawai di Jabatan Peguam Negara supaya tidak sekali-kali terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan ra­suah, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran mana-mana peraturan undang-undang yang boleh mencemarkan imej serta nama baik jabatan.

“Jabatan ini ingin menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang didapati terlibat dalam kesalahan melibatkan isu integriti dalam apa bentuk sekalipun,” katanya.

Menurut Mohamed Apandi, usaha memerangi rasuah adalah antara tiga perkara utama yang ditekankan selain amalan pentadbiran yang baik bagi membentuk organisasi cemerlang dan semangat berpasukan yang tinggi bagi menjamin kelangsungan sesebuah pentadbiran.

Dalam pada itu katanya, perbuatan rasuah yang dominan dan sukar diubah ketika di ambang kejatuhan Empayar Melaka dahulu, terutamanya dalam kalangan pembesar dan saudagar, seharusnya dijadikan teladan serta diinsafi generasi masa kini.

“Kesetiaan pembesar dan saudagar amat mudah dibeli melalui wang ringgit yang dilabur Portugis,” katanya.

Katanya, Empayar Melaka yang dikatakan kebal akhirnya jatuh ke tangan Portugis pada 1511 bukan kerana tiada senjata canggih atau kudrat pahlawan, sebaliknya benteng kukuh empayar itu dirobohkan sedikit demi sedikit oleh orang yang berlindung di sebaliknya.

Utusan Melayu

 

Comments