Home Tempatan Peguam: Jadikan Mahkamah Syariah cekap untuk kurangkan kos

Peguam: Jadikan Mahkamah Syariah cekap untuk kurangkan kos

SHARE

PETALING JAYA: Seorang peguam menggesa Mahkamah Syariah lebih cekap dalam pengurusan kes untuk memudahkan orang ramai mengupah peguam syariah.

Mengulas hakikat 50% hingga 70% kes Jabatan Bantuan Guaman membabitkan kes syariah, peguam syarie, Nizam Bashir berkata, perkhidmatan peguam syariah tidak perlu mahal.

“Pertama, perintah penyaraan, khasnya yang memberi kesan kepada kanak-kanak, perlu dikuatkuasakan lebih ketat oleh mahkamah,” katanya kepada FMT.

“Kedua, perlu tetapkan tarikh akhir untuk kes diselesaikan Mahkamah Syariah.

“Peguam kini tahu kes sivil mengambil masa 6 hingga 9 bulan diselesaikan. Mahkamah Syariah, saya yakin, juga perlu memenuhi tanda aras sama dalam menyelesaikan sesuatu kes.”

Selasa lalu, Bernama memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman sebagai berkata, statistik pendaftaran kes setakat suku pertama tahun ini menunjukkan 50% hingga 70% kes dikendalikan Jabatan Bantuan Guaman ialah kes syariah, kebanyakannya ialah tuntutan cerai.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Bantuan Guaman mengkaji semula kelayakan pihak yang memohon menggunakan bantuan mereka agar perkhidmatan hanya diberi kepada golongan memerlukan.

“Bantuan guaman sekarang diberi mengikut kiraan pendapatan. Bagi saya kiraan itu perlu dikaji. Tidak boleh (diberi) kepada orang yang berkemampuan, tetapi tidak mahu guna khidmat peguam swasta kerana kos lebih tinggi,” katanya kelmarin.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, satu daripada sebab kes cerai kerap membabitkan Jabatan Bantuan Guaman disebabkan sifat kes itu.

“Apabila perceraian berlaku, sumber dalam sesebuah isi rumah perlu diagihkan semula.

“Kos yang dikongsi bersama sebelum ini – seperti pembayaran rumah atau kereta – kini perlu ditanggung masing-masing dan ini menjejaskan kewangan peribadi setiap pasangan.”

Beliau berkata, dalam sesetengah kes, mungkin berlaku salah urus kewangan isi rumah.

“Ia kemungkinan besar ialah punca kemusnahan sesebuah perkahwinan.

“Oleh itu, bukan semua pihak mampu memperuntuk atau mengasingkan wang untuk mendapatkan khidmat peguam shariah. Jadi, adalah normal untuk orang ramai memohon bantuan guaman bagi mengurangkan perbelanjaan.”

Free Malaysia Today

Comments