Home Tempatan PBT pengkhianat bahasa Melayu – JMM

PBT pengkhianat bahasa Melayu – JMM

SHARE
Azwanddin Hamzah

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menyifatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai pengkhianat kepada bahasa Melayu apabila sering meluluskan penggunaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris bagi papan tanda perniagaan dan kawasan perumahan baharu khususnya di bandar-bandar besar.

Presiden JMM, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, berdasarkan tinjauan pihaknya, terdapat banyak papan tanda kedai, nama taman perumahan dan pusat pelancongan dicemari dengan perkataan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain yang diluluskan oleh PBT sendiri.

Menurutnya, tindakan PBT sedemikian jelas menunjukkan yang mereka langsung tidak mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

“PBT sepatutnya memandang serius perkara ini dan lebih sensitif dalam meluluskan nama tempat atau kedai namun tindakan PBT memperbanyakkan penggunaan bahasa Melayu menunjukkan mereka tidak meletakkan kepentingan terhadapnya malah boleh dilihat sebagai pengkhianat kepada bahasa kebangsaan.

“Sehubungan itu, PBT diminta mengkaji semula dan menukar papan tanda serta nama perumahan baharu bagi memartabatkan semula bahasa kebangsaan dan bukannya mengikut kehendak pemaju perumahan sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

JMM juga mendapati selain kawasan perumahan dan pusat pelancongan, premis perniagaan seperti kedai jahit, kedai makan, kedai runcit, kedai elektrik, kedai ubat dan kedai pakaian tidak menggunakan bahasa Melayu dalam mempromosikan perniagaan masing-masing.

Azwanddin berkata, sebagai penguat kuasa, PBT seharusnya bukan sekadar meluluskan permit sebaliknya mempunyai keinginan untuk mempertahankan semangat cintakan bahasa kebangsaan.

“Bahasa Inggeris sememang­nya perlu dikuasai rakyat namun tidaklah sehingga memberi keutamaan kepada bahasa tersebut dan mengabaikan bahasa kebangsaan,” katanya.

utusan online

Comments