Home Tempatan PBB perlu segera wujudkan jawatankuasa inkuari siasat jenayah kemanusiaan di Myanmar

PBB perlu segera wujudkan jawatankuasa inkuari siasat jenayah kemanusiaan di Myanmar

SHARE

KUALA LUMPUR, 25 Jamadilakhir 1438H, Jumaat – Suruhanjaya Hak Manusia PBB (UNHRC) digesa untuk menubuhkan badan siasatan antarabangsa dengan kadar segera bagi menyiasat jenayah kemanusiaan di Myanmar.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, PBB tidak boleh berlembut dengan Myanmar meskipun resolusi ke atas Myanmar di-veto oleh China dan Rusia dalam sidang UNHRC, baru-baru ini.

Ini kerana katanya, bukti jenayah penghapusan etnik dan genocide jelas terkumpul dalam siasatan yang dilakukan oleh pihak Wakil PBB dan juga dari kajian Universiti Queen Mary UK.

Tegas beliau, ia sudah cukup kuat untuk menjadi alasan perlunya wujud sebuah inkuari antarabangsa yang bebas untuk menyiasat perlakuan jenayah perang oleh Myanmar.

“Dunia tidak boleh membiarkan Myanmar terlepas dari sebarang dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan ke atas etnik Rohingya Muslim kerana mereka yang menjadi mangsa berhak mendapat keadilan.

“Komuniti Rohingya yang hilang, disiksa, hartabenda yang dirampas, penangkapan arbitrari, jenayah rogol dan seksual, pembakaran rumah kediaman, pembakaran masjid dan madrasah dan pengusiran paksa, sudah jelas berlaku sejak puluhan tahun di Myanmar .

“Jika regim Myanmar dibiar bebas dari dipertanggungjawapkan ke atas ratusan ribu etnik Rohingya yang teraniaya, maka undang-undang antarabangsa yang selama ini diwar-warkan perlu dipatuhi, tidak bermakna lagi,” katanya.

Selain itu Azmi mengingatkan, PBB berhak memfailkan kes jenayah kemanusiaan oleh Myanmar kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Katanya, beliau merayu PBB agar tidak menjadi alat kepada rejim yang zalim untuk membiarkan jenayah genocide tidak dikenakan tindakan undang-undang antarabangsa.

“Kezaliman yang dialami oleh etnik Rohingya hanya atas alasan bahawa mereka bukan warganegara Myanmar sama sekali tidak boleh diterima.

“Kami menyokong pendirian tegas Kerajaan Malaysia yang menuntut agar kerakyatan etnik Rohingya dikembali di Myanmar.

“Kerajaan Myanmar tidak boleh lagi berdalih kerana menindas komuniti yang didakwa bukan rakyat adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Kami mengesa kerajaan Malaysia mengusulkan kepada sekretariat Asean supaya mengeluarkan pendirian terhadap Myanmar yang melanggar Deklarasi Hak Manusia Asean yang ditandatangai bersama,” katanya.

Comments