Home Antarabangsa PBB, EU gesa Israel henti perobohan kampung di Tebing Barat

PBB, EU gesa Israel henti perobohan kampung di Tebing Barat

SHARE

TEBING BARAT, 26 Jamadilawal 1438H, Khamis – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) menggesa rejim Israel menghentikan rancangannya merobohkan bangunan hospital sementara termasuk puluhan kediaman di bahagian tengah di Tebing Barat.

Gesaan itu dibuat oleh Penyelaras Pembangunan Bantuan Kemanusiaan PBB di Palestin, Robert Riper serta Pengarah Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB, Scott Anderson ketika lawatan ke kampung Khan al-Ahmar di Tebing Barat.

Lawatan itu dilakukan beberapa hari selepas Tel Aviv memulakan prosiding birokrasi untuk merobohkan bangunan di seluruh kampung berkenaan.

Dilaporkan, kira-kira 35 keluarga yang tinggal di kediaman sementara di kampung itu, dan terdapat 140 struktur bangunan di sana, menurut badan dunia itu.

“Khan al-Ahmar adalah komuniti kecil di Tebing Barat yang berjuang untuk mengekalkan taraf hidup mereka menghadapi tekanan daripada rejim Israel untuk membuat penempatan haram di kawasan itu. Ia tidak boleh diterima dan mesti dihentikan,” kata Robert.

Katanya, ribuan keluarga kini hidup dalam kebimbangan selepas rancangan itu diumumkan, ekoran penduduk Palestin di Tebing Barat berdepan dengan ketidakstabilan yang kronik.

“Apabila sekolah-sekolah dirobohkan, hak pendidikan untuk kanak-kanak Palestin juga terancam. Keadaan itu mewujudkan persekitaran yang tertekan sehingga memaksa penduduk Palestin berpindah ke tempat lain,” katanya.

Robert turut menggesa masyarakat antarabanga untuk membantu melindungi rakyat Palestin yang teruk ditindas dan memastikan undang-undang antarabangsa dihormati.

Sementara itu, Anderson memberi amaran kepada rejim Israel supaya menempatkan semula keluarga Palestin yang kini menetap bersama masyarakat Badwi, sekaligus menekankan bahawa tindakan itu adalah pemindahan secara paksa serta pengusiran.

“Kebanyakan keluarga pelarian Palestin yang mempunyai rumah telah dirobohkan beberapa kali sejak beberapa tahun lalu. Saya menggesa pihak berkuasa Israel untuk menghentikan semua rancangan itu yang hanya menjadikan pelarian menjadi pelarian sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, misi kemanusian EU di Jerusalem dan Ramallah mengecam rancangan rejim Israel untuk merobohkan struktur bangunan Palestin di Khan al-Ahmar.

Katanya, Israel telah memusnahkan 135 struktur bangunan Palestin di kawasan C di Tebing Barat bagi tahun ini, dan mengusir kira-kira 218 penduduknya.- Agensi

Comments