Home Antarabangsa PBB bimbang peningkatan pertempuran di Damsyik

PBB bimbang peningkatan pertempuran di Damsyik

SHARE

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menyatakan kebimbangannya berhubung pertempuran yang semakin memuncak di sekitar Damsyik ketika badan dunia itu bersedia melancarkan pusingan baharu rundingan damai.

Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, pihaknya menerima laporan kematian dan kecederaan penduduk awam akibat serangan di Qabun, Barzeh, Tishreen dan Harasta.

“PBB bimbang dengan pertempuran yang semakin sengit di sekitar Damsyik sejak beberapa hari kebelakangan ini,” kata Haq.

Katanya, lebih 100,000 penduduk awam tinggal di kawasan kejiranan itu yang menyaksikan peningkatan pertempuran sejak Sabtu lalu.

Wakil khas PBB, Staffan de Mistura, berada di Geneva menantikan ketibaan delegasi rundingan damai yang dijangka bermula Khamis ini.

Haq berkata, masih ada persoalan yang timbul mengenai delegasi.

“Kami menantikan penjelasan mengenai siapa sebenarnya akan hadir,” katanya.

Rundingan di Switzerland itu menjadi pusingan keempat rundingan damai anjuran PBB, disusuli pertemuan antara Russia, Iran dan Turki bertujuan mengukuhkan perjanjian gencatan senjata. – AFP

Berita Harian

Comments