Home Antarabangsa PBB bidas Saudi, dakwa pegawai Malaysia turut bantu operasi di Yaman

PBB bidas Saudi, dakwa pegawai Malaysia turut bantu operasi di Yaman

SHARE

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pegawai Malaysia turut terlibat membantu operasi ketenteraan Arab Saudi di Yaman, selepas laporan terkini badan dunia itu mengutuk serangan ke atas Yaman sambil menyifatkannya jenayah perang.

Ia memberi amaran kepada negara lain yang membantu Riyadh, selepas penyiasatannya mendapati kebanyakan sasaran serangan di Yaman antara Mac dan Oktober tahun lalu adalah kawasan awam, melibatkan kematian 292 orang awam termasuk 100 wanita dan kanak-kanak.

“Semua negara dalam gabungan itu dan sekutunya mempunyai tanggungjawab mengambil langkah perlu memastikan undang-undang kemanusian antarabangsa dihormati gabungan itu,” kata laporan 63 muka surat itu dipetik AFP hari ini.

Sejak 2 tahun lalu, Arab Saudi mengetuai gabungan 9 negara Arab melancarkan serangan udara bagi membantu kerajaan Yaman melawan pemberontak puak Houthi dan pihak yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh.

Menurut laporan PBB itu, selain 9 negara Arab iaitu Mesir, Maghribi, Jordan, Sudan, UAE, Kuwait, Qatar dan Bahrain, operasi ketentaraan Arab Saudi itu turut dibantu perisikan Amerika Syarikat, dan disokong pegawai dari Britan, Perancis dan Malaysia.

Puak Houthi merupakan penganut Islam Syiah Zaidi, aliran yang dianuti hampir separuh penduduk Yaman. Kerjasama puak itu dengan Ali dikatakan menambahkan sokongan menggulingkan presiden yang disokong Arab Saudi, Abdrabbuh Mansour Hadi.

Laporan itu bagaimanapun berkata tidak ada bukti menunjukkan puak Houthi menerima bantuan alat ketenteraan daripada Iran, seperti sering didakwa Riyadh.

Pada 2015, media Arab Saudi mengumumkan gabungan 34 negara termasuk Malaysia bagi “melawan keganasan”.

Ia bagaimanapun dipercayai usaha Arab Saudi membendung kemaraan puak Houthi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagaimanapun menafikan penglibatan Malaysia. Ia turut dinafikan Pakistan dan Lubnan.

Free Malaysia Today

Comments