Home Tempatan Patuhi prosedur Maqis

Patuhi prosedur Maqis

SHARE

PONTIAN 20 Julai – Pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai masalah untuk mengeksport produk mereka ke Singapura diminta merujuk perkara berkenaan dengan pihak ber­kaitan segera.

Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, mereka perlu me­matuhi prosedur yang te­lah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan beberapa produk seperti barangan runcit dan makanan proses sukar untuk melepasi pemeriksaan pihak berkuasa kerana didapati tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

Pihaknya telah mengaturkan beberapa pertemuan de­ngan pihak Maqis sebelum ini atas permintaan pengusaha PKS Pontian, namun masih ada beberapa kekeliruan yang timbul.

“Saya sekali lagi akan membawa pegawai Maqis dari Kuala Lumpur bagi memberikan peluang untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci berkaitan peraturan yang dikuatkuasakan pada bulan Jun lalu.

“Usaha ini diharap dapat me­ngatasi masalah penghantaran produk mereka yang boleh memberikan kesan se­kira­nya perkara sama berulang di pintu keluar masuk negara,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Parlimen Tanjung Piai, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, isu itu mung­kin berkaitan dengan Sijil Perakuan Pematuhan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (3P) bagi tujuan eksport yang terletak di bawah bidang kuasa Maqis.

“Pengusaha PKS perlu bersedia untuk mematuhi peraturan tersebut agar tidak timbul sebarang salah faham yang boleh merugikan kedua-dua belah pihak nanti,” katanya sambil menegaskan bahawa peraturan yang ditetapkan bukan untuk menyusahkan seseiapa tetapi membantu pengusaha PKS mengeluarkan produk yang mematuhi stan­dard antarabangsa.

UTUSAN ONLINE

Comments