Home Tempatan Patuh syariah terus diperjuangkan

Patuh syariah terus diperjuangkan

Pertama kali diperkenal dalam industri perbankan

SHARE
MOHAMED AL AMIN ABDUL MAJID (tujuh dari kiri) dan Zukri Samat bersama penerima Anugerah Perdana, Padzilah Enda Sulaiman serta pemenang-pemenang lain Anugerah Patuh Syariah PKS Bank Islam-Utusan 2017 di Kuala Lumpur malam tadi. Yang turut hadir Mohd. Noordin Abbas (lima dari kiri) dan Hafsah Hashim (empat dari kanan).

KUALA LUMPUR 7 Mei – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) terus memperjuangkan perbankan patuh syariah untuk semua lapisan masyarakat, menepati misi utamanya bagi membangun penyelesaian dan memperbaharui kewangan yang diterima sejagat sejajar dengan prinsip syariah.

Perjuangan itu termasuk memastikan perbankan Islam diterima oleh semua bangsa dan agama, selain menjadi penyedia bantuan kewangan kepada per­usahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata, penyelesaian kewangan banknya merangkumi aspek menyeluruh dalam memperluaskan jangkauan rangkuman kewangan, termasuk kepada PKS.

“Sebagai institusi perbankan Islam perintis, Bank Islam memperjuangkan perbankan patuh syariah untuk semua lapisan masyarakat, tidak kira bangsa atau agama kerana masih ada yang berpandangan bahawa perbankan Islam hanya terhad kepada orang Islam sahaja,” kata­nya semasa berucap pada Malam Gala Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 di sini malam ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pe­ngarang, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor; Pengerusi SME Corp., Tan Sri Ir. Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Dr. Hafsah Hashim dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.

Kata Zukri, sepanjang 2016, Bank Islam meluluskan pembia­yaan berjumlah RM536 juta kepada PKS, manakala dari Januari 2017 sehingga Mac 2017, seba­nyak RM141 juta lagi telah diluluskan. Angka menggambarkan sokongan kami terhadap usaha kerajaan menjadikan PKS sebagai tunggak ekonomi Malaysia,” katanya.

Mengenai Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017, Zukri berkata, ia merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia untuk PKS patuh syariah dengan tujuan memaparkan kemahiran, pencapaian dan inovasi PKS di samping menjadi penanda aras, inspirasi dan contoh amalan terbaik kepada PKS yang lain.

“Bank Islam mengorak langkah dalam memperkenalkan anugerah khusus buat PKS daripada sudut patuh syariah sebagai wadah untuk kami menyumbang kepada kemajuan sistem perbankan Islam dan memacu pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Kata beliau, Bank Islam merupakan satu daripada enam institusi perbankan yang menawarkan Platform Akaun Pelaburan (IAP) yang membolehkan PKS mendapat akses pembiayaan melalui produk Akaun Pelaburan Terhad (RIA) dan Akaun Pelaburan Tidak Terhad (URIA).

Tambahnya, bank itu juga telah melancarkan Kad Kredit-I Visa Infinite Business yang disasarkan kepada PKS untuk menggalakkan mereka lebih peka terhadap perbelanjaan dan aliran tunai.

“Bank itu turut menyediakan produk-produk Skim Bantuan Kerajaan demi membantu PKS seperti Skim Jaminan Modal Kerja, Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan, Tabung Industri Kecil dan Sederhana 2, Tabung Usahawan Baru 2 dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil,” kata beliau lagi.

UTUSAN ONLINE

 

Comments