Home Tempatan Pastor Tajaan Jabatan Mufti Perlis, Kongsi Bible Kalimah Allah

Pastor Tajaan Jabatan Mufti Perlis, Kongsi Bible Kalimah Allah

SHARE

Kangar, Perlis: Pastor Sivin Kit, dari Bangsar Lutheran Church tidak menunjukkan rasa kekok dan seperti berada di rumah sendiri semasa menggunakan Bible Bahasa Melayu kepada hampir 100 orang Islam, termasuk pelajar Muslim dari Universiti Malaysia Perlis yang hadir pada forum antara agama yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Mufti Perlis, Jabatan Agama Islam Perlis dan Majlis Agama Islam Perlis pada 15 September 2017 di Hotel Seri Malaysia, Kangar.

Forum yang bertajuk Dialog Antara Agama: Teks Agama Tentang Keharmonian Hidup Antara Manusia: Islam dan Kristian, telah dihadiri oleh lebih kurang 120 orang peserta yang majoritinya terdiri daripada umat Islam dari kalangan pelajar dan penduduk tempatan.

Dalam forum tersebut Sivin Kit juga telah memetik beberapa ayat daripada al-Kitab Bahasa Melayu yang menterjemahkan perkataan Tuhan sebagai Allah demi menunjukkan kebesaran yang Maha Esa menurut perspektif Kristian.

“Demikianlah Allah menciptakan manusia dan menjadikan mereka seperti diriNya sendiri (berupa Tuhan)…,” antara isi kandungan al-Kitab Bahasa Melayu yang dinukilkan oleh Pastor Sivin Kit.

Bible Bahasa Melayu yang digunakan oleh Pastor Sivin Kit di hadapan penonton beragama Islam

Menurut Pastor Sivin Kit, beliau dibawa masuk ke Perlis melalui tiket penerbangan yang ditaja oleh Jabatan Mufti Perlis sendiri.

Bekas Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim, pada tahun 2002, telah membentangkan dan diluluskan di dalam Dewan Undangan Negeri Perlis, Enakman Kawalan dan Sekatan Pengembangan Iktikad dan Kepercayaan Agama yang bertentangan dengan Agama Islam (Sunah Waljamaah). Enakmen itu turut menyenaraikan perkataan-perkataan seperti Allah dan Rasul yang tidak boleh dikaitkan dengan iktikad atau kepercayaan yang bertentangan dengan Islam.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada negeri-negeri untuk mewartakan undang-undang bagi tujuan menyekat perkembangan apa-apa iktikad selain Islam kepada orang Islam.

Semua negeri di dalam Malaysia telah mewartakan undang-undang tersebut bagi mengawal perkembangan Agama Bukan Islam kecuali Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

Comments