Home Pendapat Pastor Hilang atau Cubaan Menangguk Di Air Yang Keruh?

Pastor Hilang atau Cubaan Menangguk Di Air Yang Keruh?

SHARE

Beberapa minggu lepas, rakyat Malaysia menyaksikan demonstrasi bagi memperingati kehilangan beberapa orang tokoh evangelis Kristian seperti Pastor Raymond Koh yang disyaki diculik. Demo tersebut juga dilihat sebagai satu cara mendesak pihak berkuasa untuk mempertingkatkan siasatan yang juga membabitkan Pastor Joshua Hilmy dan Amri Che Mat. Polis bagaimanapun, mahu semua pihak bersabar daripada melakukan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Pastor Raymond Koh yang terlibat dengan gereja DUMC di Petaling Jaya pernah terlibat dengan kontroversi majlis berbuka puasa bersama beberapa orang Muslim di gereja tersebut. Lebih mengejutkan lagi, semasa kejadian, DUMC adalah sebuah gereja haram mengikut kenyataan yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Demonstrasi turut membangkitkan tentang kes ‘kehilangan’ Peter Chong, bekas pembantu kepada MP Subang PKR, R. Sivarasa. Laporan polis dibuat oleh anaknya Darryl Chong setelah lebih dua hari tidak mendapat khabar berita daripada bapanya itu. Catatan di facebook sebelum beliau hilang membuatkan keadaan menjadi lebih misteri apabila, Peter Chong mendakwa beliau telah didekati oleh seseorang yang membonceng motosikal seperti memberi amaran kepadanya supaya beliau berhati-hati “…sekarang banyak orang tiba-tiba hilang. Mereka semua tahu mana orang tinggal.”

Ketua Polis Negara kemudiannya membuat kenyataan media mendedahkan Peter Chong sedang berada di negara jiran, Thailand dan bukanlah diculik seperti yang disangka ramai.

Walaubagaimanapun, Peter Chong tetap dengan pendiriannya bahawa beliau sebenarnya diculik semasa di Haytai apabila mahu mencari Pastor Raymond Koh. Beliau mendakwa kemudiannya beliau dikurung di Pattaya. Apabila beliau dibebaskan dan mahu melaporkan hal tersebut di Pattaya, beliau dinasihatkan untuk melaporkan kejadian tersebut di Hatyai, tempat berlakunya penculikan. Beliau kemudian memilih untuk tidak meneruskan dengan laporan polis dan menghubungi anaknya untuk membolehkan beliau balik ke Malaysia.

Ketua Polis Negara mendakwa bahawa Peter Chong banyak membuang masa polis, dan pihak polis akan meneruskan siasatan untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku. Polis juga agak ragu-ragu dengan kenyataan yang dibuat oleh Peter Chong dan sekarang masih bekerjasama dengan Polis Pattaya untuk memperincikan beberapa maklumat.

Ketua Polis Hatyai, Kolonel Kittichai Sankatavorn berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap Peter Chong jika tidak ada laporan polis dibuat dan beliau akan dituduh atas tuduhan mereka-reka cerita. Bagaimanapun, pihak polis Hatyai tetap akan menyiasat dakwaan penculikan Peter Chong.

Ketua Polis Pattaya, Kolonel Apichai Krobpet pada 18 April lalu juga melaporkan yang mereka tidak tahu-menahu mengenai dakwaan Peter Chong diculik sekumpulan lelaki di Hatyai dan dibawa ke Pattaya kerana tidak pernah menerima sebarang laporan berhubung dakwaan aktivis itu.

Terbaru, Polis Diraja Malaysia akan berjumpa sekali lagi dengan Peter Chong untuk sekali lagi merekodkan keterangan bagi pihak beliau. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, “Bagaimanapun, kami masih tidak berpuas hati dengan keterangan yang diberikan… polis akan memanggil dia semula sekiranya perlu untuk siasatan lanjut.”

Apakah ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan memainkan sentimen kebencian agama di dalam misteri kehilangan individu-individu ini?
Kecekapan pihak PDRM untuk menyelesaikan masalah ini adalah tidak diragukan. Mana-mana pihak yang cuba menangguk di air yang keruh, mesti dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya supaya kehidupan beragama di Malaysia akan kekal aman.

Comments