Home Tempatan Pasangan Buat Tuduhan Palsu Terhadap JAWI Didenda

Pasangan Buat Tuduhan Palsu Terhadap JAWI Didenda

SHARE

Putrajaya: Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 terhadap pasangan suami isteri kontroversi yang mengaku bersalah membuat tuduhan palsu ke atas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan dakwaan membuat serbuan khalwat tanpa mengikut prosedur sebelum ini.

Menurut Sahabat Mahkamah Syariah dalam Facebooknya, tertuduh Mohd Ridhuan Giman membuat laporan palsu kononnya wujud pasangan sedang berkhalwat sedangkan pasangan yang diadu itu adalah dirinya dan isterinya sendiri.

Lelaki itu didakwa di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000.

Pasangan tersebut juga sebelum ini bertindak menyaman JAWI dan 6 pihak lain iaitu Pegawai Penguatkuasa Mohd Shaham Ramli dan Mohammad Izehar Md Amin; Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAWI; Ketua Pengarah JAWI; Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia atas dakwaan yang sama.

Akan tetapi, baru-baru ini mereka telah menarik balik saman mereka terhadap JAWI dan 6 yang lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas alasan masalah kewangan.

Tindakan saman tersebut telah menyebabkan JAWI dikecam hebat oleh masyarakat termasuk dari golongan bukan Islam di Malaysia.

Dalam masa yang sama, pasangan tersebut turut menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 3hb hingga 5hb April 2018 nanti atas kesalahan Menghina Undang-Undang Islam.

Peguam Syarie, Mohd Iz’aan Azalan daripada Persatuan Peguam Muslim Malaysia berkata, kedua-dua mereka dibicarakan di bawah Seksyen 7(c) Akta Kesalahan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kerana memburukkan imej JAWI.

“Mana-mana orang yang secara lisan atau secara bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan apa-apa cara lain – (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Walau bagaimanapun, jelasnya, perbicaraan masih berjalan dan seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Comments