Home Tempatan PAS kata DAP anti-Islam: ‘Sila saman,’ cabar Dewan Ulama

PAS kata DAP anti-Islam: ‘Sila saman,’ cabar Dewan Ulama

"Ini peluang kita untuk mendedahkan kepada orang Islam bahawa DAP dan Lim Kit Siang memang anti-Islam," kata Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Khairudin Aman Razali.

SHARE

PETALING JAYA: PAS mencabar Lim Kit Siang meneruskan niat mengambil tindakan undang-undang terhadap presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan anti-Islam.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali ketika dihubungi berkata “Kit Siang memang anti-Islam” dan menambah mereka sedia berdepan di mahkamah.

“Eloklah, saman sahaja-lah. Memang Lim Kit Siang anti-Islam,” kata Khairuddin. Beliau mengulas laporan Ketua Parlimen DAP itu bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Hadi kerana didakwa memfitnahnya anti-Islam.

“Rang undang-undang 355 adalah memperkasakan Islam. Bagi menentang RUU 355 dia menentang Islam,” tambah beliau, merujuk kepada usul cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dibawa Hadi di Parlimen tahun lepas.

“Islam ini matematiknya bukan 10 tolak 9 jadi 1 tetapi 10 tolak 1 jadi 0,” katanya.

Usul itu dijangka dibahaskan di Dewan Rakyat pada Mac.

“Kita cabar Lim Kit Siang bawa ke mahkamah. Sila saman. Nanti kita akan sebut banyak lagi tindakan DAP yang menentang Islam. Ini peluang kita untuk mendedahkan kepada orang Islam bahawa DAP dan Lim Kit Siang memang anti-Islam.”

Sebelum ini, DAP mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Hadi berhubung pelaksanaan undang-undang Islam di Kelantan.

Kit Siang baru-baru ini menawarkan kesediaan untuk kembali bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Hasrat itu ditolak Hadi semalam.

Hadi dilaporkan berkata kerjasama tidak akan berlaku kerana kedua-dua parti mempunyai agenda tersendiri malah DAP hingga kini menentang agenda utama PAS khususnya dalam meningkatkan hukum syariah.

Menjawab kenyataan itu, Kit Siang akan meminta peguamnya meneliti perkara itu, dan berkata beliau bukan seorang yang anti-Islam.

“Terpulang pada dia-lah, memang orang tidak akan menafikan dia ‘buang air besar’ di tepi jalan,” kata Khairuddin.

“Tindakan-tindakan DAP selama kita berkawan menggambarkan mereka ini anti-Islam. Kerana itu kita putuskan hubungan dengan DAP.

“Banyak lagi isu melibatkan kalimah Allah, isu melibatkan kemasukan Islam anak di bawah umur oleh seorang bapa yang masuk Islam yang diberikan oleh Perlembagaan dan banyak lagi isu-isu lain.”

“Apa sahaja melibatkan memperkasakan Islam, mesti ada perkara yang akan dicucuk dan diprovokasi oleh Kit Siang,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments