Home Tempatan PAS: Jangan bantah, himpunan RUU 355 ‘penuh kasih sayang’

PAS: Jangan bantah, himpunan RUU 355 ‘penuh kasih sayang’

SHARE
Timbalan presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengumumkan Himpunan 355 di Shah Alam pada 7 Januari 2017. — Foto oleh Saw Siow Feng

SHAH ALAM, 20 Jan — PAS menyeru semua pihak agar tidak membantah perhimpunan menyokong rang undang-undang (RUU) persendirian bagi memperkasa mahkamah syariah, lebih dikenali RUU 355, kerana ia penuh kasih sayang.

Pengarah program tersebut Nasrudin Hassan berkata perhimpunan itu, dengan slogan Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera, “tiada sebarang kebencian, amarah, provokasi, pengkhianatan atau penghinaan”, lapor Sinar Harian.

Program itu, dibuat bagi menyokong usul presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen, “menyebarkan kasih sayang, persahabatan, saling menghormati antara agama dan kaum, tertib dan juga menyemarakkan semangat amal Islami”, katanya lagi.

Namun bekas ketua Pemuda PAS itu tidak menghalang jika ada pihak yang ingin membantah program tersebut, yang mahu diadakan di Dataran Merdeka pada 18 Februari ini.

Pihak berwajib bagaimanapun enggan perhimpunan tersebut diadakan di situ, sebaliknya mencadangkan ia dibuat di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Nasrudin dipercayai mengulas ura-ura sekumpulan aktivis, menggelar diri mereka Bebas, yang ingin menganjurkan demonstrasi membantah RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada tarikh tersebut.

Sementara itu, lapor Sinar Harian lagi, PAS merayu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar parti itu dibenarkan menggunakan Dataran Merdeka.

Timbalan presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata programnya dianjurkan dengan aman dan tidak akan menjejaskan hubungan kaum di negara ini.

“Kami telah menerima surat daripada DBKL bertarikh 13 Januari lalu yang menolak permohonan kami bagi mengadakan Himpunan RUU 355 di Dataran Merdeka,” katanya selalu pengerusi sekretariat perhimpunan berkenaan.

“Dalam penolakannya, DBKL langsung tidak memberikan sebarang hujah mengapa permohonan kami ditolak. Pihak kami membuat rayuan bagi meneruskan Himpunan RUU 355 di Dataran Merdeka.”

RUU 355 yang bermaksud meminda Akta 355 dibentang Abdul Hadi pada Mei tahun lalu tetapi masih belum dibahaskan oleh Parlimen. Ia dijangka dibahaskan tahun ini.

Wakil-wakil rakyat kerajaan dan pembangkang mencadangkan RUU tersebut menyatakan hukuman maksimum iaitu penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 kali sebatan.

Mahkamah syariah sehingga kini hanya dibenarkan menghukum seseorang Islam sehingga tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

The Malay Mail Online

Comments